Dengan dunia memasuki era digital, kini pelbagai bentuk “perang” yang disasarkan dalam bentuk seperti serangan siber, ancaman digital dan sebagainya. Dalam usaha untuk terus memperkukuh sistem pertahanan negara, kini Menteri Pertahanan berkongsi berkenaan Kertas Putih Pertahanan yang menyentuh sejumlah perkara. Salah satunya adalah berkenaan dengan kesiagaan Angkatan Masa Hadapan.
Angkatan Masa Hadapan ini akan memfokuskan kepada ancaman bukan tradisional – terutamanya pada ancaman digital seperti serangan siber, penggodaman, dan sebagainya. Apatah lagi pada era adaptasi kecerdasan buatan dan data raya, pertahanan negara juga perlu terus diperkukuh dengan pelbagai pertahanan dan perliindungan baharu.
Ramai penganalisa sedia menyasarkan pertempuran dan peperangan yang melibatkan penyertaan digital – termasuk penggunaan dron dan sebagainya. Pada hari ini sendiri, ia dikatakan dron telah digunakan untuk penyeludupan dan sebagainya. Jadi, pihak pertahanan turut perlu mengatasi masalah ini, disamping membaca dan melumpuhkan usaha berkenaan.
Menteri Pertahanan turut meminta pelbagai pihak untuk memberikan input dan pendapat berkaitan dengan Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP), dalam usaha terus menambah-baik, serta menghasilkan dapatan yang bernilai kepada negara.