Bard kini Gemini dengan ia akan menggantikan Assistant sebagai pembantu maya pada peranti Android. Dengan ia menggunakan model Gemini Pro, Gemini mampu melakukan pelbagai tugasan menarik seperti memberikan saranan kapsyen gambar untuk laman media sosial serta melakukan ringkasan laman web yang panjang. Kepada cakna mengenai privasi data peribadi, harus diingatkan Gemini akan menyimpan sesetengah data pengguna sehingga tiga tahun.

Ini disahkan dalam laman sokongan Gemini yang diterbitkan oleh Google. Data pengguna boleh dibaca oleh Google bagi tujuan menaik taraf perkhidmatan Gemini serta membaiki sebarang isu yang dilaporkan oleh pengguna. Perbualan pengguna dengan Gemini yang ditanda bagi tujuan inilah yang akan disimpan sehingga tiga tahun. Data perbualan lain masih boleh dipadam secara manual oleh pengguna menerusi tetapan Gemini Apps Activity.
Sekali lagi jika sesuatu perkhidmatan itu adalah “percuma”, bayarannya ialah data peribadi. Google walau bagaimanapun mengingatkan pengguna Gemini supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau rahsia yang tidak mahu dilihat oleh pekerja manusia di Google.