Cari @ Amanz

Dengan projek untuk menjelajah Bulan dan juga planet Marikh dijangka akan bermula dalam masa beberapa tahun sahaja lagi, pihak NASA dengan kerjasama beberapa pihak telah memulakan proses untuk membangunkan mesin pencetak 3D logam yang boleh digunakan untuk mencetak komponen-komponen struktur yang boleh digunakan di angkasa lepas.

Airbus akan membangunkan dua mesin pencetak 3D ini untuk tujuan penyelidikan terlebih dahulu. Mesin pencetak pertama akan digunakan di bumi oleh pihak European Space Agency (ESA) yang juga membiayai pembangunan mesin pencetak ini dan juga penyelidik di Danish Technical University, dan yang kedua akan dibawa ke Stesen Angkasa Antarabangsa melalui misi bekalan semula Cygnus NG-20 tidak lama lagi.

Mesin pencetak 3D di stesen angkasa tersebut akan mencetak empat sampel di stesen angkasa tersebut, dimana setiap sampel akan mengambil masa 40 jam untuk dicetak. Sampel-sampel ini kemudiannya akan dihantar ke pihak ESA dan Danish Technical University untuk diuji integriti dan samada ia selamat digunakan sebagai struktur bangunan.

Pemasangan mesin pencetak 3D logam di Stesen Angkasa Antarabangsa ini akan menyingkatkan masa penghantaran struktur binaan ke lokasi-lokasi di bulan dan juga Marikh, disamping mengurangkan kos bahan api sekiranya ia berjaya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Airbus, modul mesin pencetak ini akan dimuatkan didalam Columbus, iaitu makmal Eropah yang dipasang sebahagian daripada Stesen Angkasa Antarabangsa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd