Apa yang membuatkan saya sukakan Google Chrome beberapa tahun lepas adalah satu akaun Google boleh simpan semua data untuk pengguna akses pada peranti lain. Saya melayari Amanz dan Aksiz pada Windows di siang hari, saya boleh sambung membaca pada telefon di malam hari. Ciri sama telah pun diperkenalkan pada Edge dan Mozilla.
Terbaru, DuckDuckGo turut memperkenalkan ciri lebih kurang sama. Tetapi apa yang menarik adalah ia boleh simpan nama pengguna dan kata laluan secara rentas-platform tanpa sebarang akaun. Ciri ini digelar sebagai Private Sync.
Ciri ini boleh menyimpan semua penanda buku serta nama pengguna dan kata laluan dengan selamat. Setiap satu akan disulitkan dan untuk mengakses pada peranti lain, DuckDuckGo menyediakan kod QR atau kod teks bergantung kepada peranti.
Untuk menggunakannya pergi ke Settings > Sync & Backup > Sync With Another Device > Begin Syncing. Satu kaedah yang menarik, tetapi tahukah anda yang ciri menyegerakkan data oleh Apple dan Google juga disulitkan. Mungkin DuckDuckGo adalah alternatif kepada mereka yang lebih paranoid dengan privasi dan sekuriti.