Cari @ Amanz

NVIDIA ialah sebuah syarikat teknologi yang cukup terkenal untuk penawaran kad grafik mereka yang dimanfaatkan untuk pelbagai jenis kegunaan, dari gaming hinggalah ke industri olahan grafik/video dan juga kecerdasan buatan. Komponen-komponen grafik NVIDIA juga digunakan untuk menguasakan pelbagai superkomputer dan pusat data di seluruh dunia.

Pada bulan November 2023, NVIDIA telah memperkenalkan superkomputer paling berkuasa mereka yang dinamakan Eos. Kini, butiran lanjut mengenai superkomputer ini telah diperlihatkan dan NVIDIA telah mengatakan bahawa ia merupakan superkomputer paling berkuasa yang dibangunkan oleh mereka sendiri. Ketika ini Eos adalah superkomputer ke-sembilan paling berkuasa dunia menurut senarai TOP500.

Dikuasakan sepenuhnya oleh komponen-komponen NVIDIA, Eos tampil menggunakan 576 NVIDIA DGX H100, yang mana setiap unit DGX ini hadir dengan lapan unit kad grafik NVIDIA H100. Ini bermakna bahawa setiap superkomputer Eos menggunakan sebanyak 4608 kad grafik tersebut dan ia juga tampil menggunakan komponen rangkaian NVIDIA Quantum-2 InfiniBand bersama-sama perisian yang dibangunkan mereka sendiri untuk prestasi pemprosesan kecerdasan buatan FP8 setinggi 18.4 exaflops disamping kadar penghantaran data sepantas 400Gb/s.

NVIDIA mengatakan Eos dibangunkan sebagai sebuah jantung untuk kilang kecerdasan buatan, dimana setiap superkomputer ini akan dijadikan pemecut untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan menggunakan pengetahuan dan pengajaran daripada pembangunan superkomputer mereka sebelum ini seperti Saturn-V dan Selene.

Kuasa pemprosesan DGX H100 membolehkan pembelajaran mesin dan pemprosesan model bahasa raya (Large Language Model) dikatakan boleh berlaku dengan lebih cepat, dan sebuah Eos ini sahaja mampu menggerakkan tugasan seperti analisa berskala besar, simulasi kuantum dan sebagainya tanpa begitu banyak masalah.

Eos juga hadir dengan perisian seperti Base Command yang membantu dalam menguruskan atur kerja pembangunan teknologi kecerdasan buatan dan juga AI Enterprise yang memecut pembangunan aplikasi kecerdasan buatan dan berfungsi sebagai “sistem operasi” untuk para pembangun teknologi kecerdasan buatan.

Dengan Eos oleh NVIDIA ini, ia dijangka bahawa pembangunan teknologi kecerdasan buatan generatif akan semakin pesat lagi, khususnya pada hari ini apabila semakin banyak teknologi kecerdasan buatan generatif sudah boleh mula dimanfaatkan oleh orang ramai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd