Cari @ Amanz

Apple adalah antara yang terawal mempopularkan ciri carian universal di dalam peranti mereka. Ciri ini diberi nama sebagai Spotlight Search dan ia bukan sahaja boleh mencari kandungan di dalam peranti tetapi juga dari dalam aplikasi dan web. Ciri lebih kurang sama sudah tersedia pada kebanyakan peranti Android dan juga komputer Windows. Terkini, Apple dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf Spotlight Search dengan model bahasa raya agar ia menjadi enjin carian yang lebih berkuasa.

Dengan kemas kini ini, jika Apple mengintegrasikan AI generatif pada Spotlight Search ia bukan sekadar boleh menjadi enjin carian mencari maklumat di web atau melancarkan aplikasi tetapi turut boleh melakukan aktiviti dari dalam aplikasi. Misalnya, “Buka kamera, ambil swafoto dan terus hantar ke Sayang di iMessage”. Bukan itu sahaja, Spotlight Search turut boleh menjadi seakan Gemini, Copliot atau aplikasi ChatGPT cuma ia terbina terus di dalam sistem operasi Apple.

Seperti Gemini juga, Spotlight Search untuk Apple ini akan ada suis untuk ditukar antara mencari kandungan di dalam aplikasi atau melakukan carian maklumat yang kompleks menggunakan AI. Buat masa ini ia hanyalah perancangan awal untuk Apple memasukkan kod pembangunannya ke dalam XCode. Tidak pasti lagi jika ciri ini akan menjadi realiti. Apple dikatakan ingin menyertakan ciri AI di dalam iOS 18 yang akan menjadi kemas kini iOS terbesar Apple di dalam sejarah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd