Cari @ Amanz

Kehadiran Xiaomi 14 Ultra akhirnya diacah secara rasmi menerusi imej promosi rasmi. Ia menunjukkan peranti boleh disediakan dalam dua warna iaitu hitam dan putih. Sementara itu rekaan pula dilihat mirip seperti imej tular sebelum ini.

Gabungan panel belakang seakan kulit dan bonggol kamera besar digunakan. Diikuti juga dengan kedudukan sensor, LED Flash dan penjenamaan Leica yang juga sama seperti model terdahulu. Konfigurasi kamera masih lagi kuad-kamera tetapi masih belum jelas mengenai butirannya. Bingkai sejenis logam juga digunakan dengan butang kuasa dan laras audio di bahagian sisi kanan.

Butiran mengenai spesifikasi masih misteri, namun dipercayai boleh menggunakan skrin AMOLED 120Hz dengan kecerahan puncak 3000nits. Digabung juga pemproses Snapdragon 8 Gen 3, memori 16GB RAM dan storan 512GB. Kamera utama 50MP dan bateri 5,300mAh juga mungkin melengkapinya. Xiaomi 14 Ultra akan dilancarkan di China pada 22 Februari 2024.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd