Cari @ Amanz

Meizu secara rasmi mengumumkan mereka tidak lagi akan menghasilkan telefon pintar. Sebaliknya mereka kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan peranti AI pertama mereka yang akan dilancarkan tahun ini.

Perubahan mendadak ini dilakukan oleh Meizu selepas mendapati permintaan orang ramai untuk peranti baharu semakin berkurangan dengan secara purata menggantikan peranti lama setiap 51 bulan. Pembangunan Meizu 21 PRO, Meizu 22, dan Meizu 23 kini telahpun ditamatkan.

Walaupun tidak lagi akan menghasilkan telefon pintar baharu, Meizu komited untuk menyokong peranti-peranti sedia ada dengan meneruskan pembangunan sistem operasi FlyMe. Apakah peranti AI pertama yang akan dilancarkan masih menjadi misteri. Mungkin juga sekadar telefon pintar dengan integrasi AI menyeluruh seperti yang telah dilakukan oleh Samsung dan Google sejak awal tahun ini.

Bagi memastikan kejayaan hala tuju mereka, Meizu berkata mereka turut akan melakukan kerjasama dengan syarikat AI lain seperti OpenAI. Ini bukan kali pertama hala tuju syarikat diubah, selepas diambil alih oleh Geely kedengaran telefon pintar jenama Geely akan dijual tetapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan terkini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd