Carian
Sticky Notes Untuk Windows Akan Bergabung Dengan OneNote
February 19, 2024 Fahim Zahar

Sticky Notes atau Nota Lekit adalah aplikasi ringkas mencatat nota yang terbina di dalam Windows. Aplikasi ini semakin berkembang maju dengan mempunyai kemampuan mengecam nombor, alamat serta menyokong sandaran awanan dengan akaun Microsoft. Terbaru, Sticky Notes akan digabungkan dengan OneNote.

Bagi yang tidak tahu, Sticky Notes pada Android dan iOS sudah pun digabungkan dalam OneNote untuk beberapa tahun. Mungkin dengan ramai orang tidak menggunakan aplikasi OneNote, Microsoft bercadang menggabungkan Sticky Note ke dalamnya. Walaupun sudah digabungkan, Sticky Notes masih boleh melekat pada desktop Windows dengan pilihan Dock baharu atau melancarkannya dengan menekan Win + Alt + S.

Microsoft turut mengemaskini aplikasi ini untuk ia boleh berjalan serentak dengan aplikasi lain. Misalnya Word dan Sticky Notes secara bersebelahan. Paling menarik pada saya adalah, Sticky Notes kini boleh menjadi pengurus tangkapan layar Windows. Pada aplikasi ini ada pintasan tangkapan layar yang apabila ditekan ia akan simpan di dalam nota bersama dengan sumber. Seperti dari aplikasi mana dan laman web mana.

Sebagai pengguna Sticky Notes, ini adalah kemas kini yang saya sangat hargai. Ciri ini akan diedarkan kepada semua orang selepas ujian selesai dilakukan. Buat masa ini hanya pengguna Windows Insider versi 2402 (Build 17328.20000) dan ke atas sahaja boleh menggunakannya.

Komen