Sudah lebih setahun kita melangkah ke era 5G. Walaupun pengenalan 5G di Malaysia tertangguh hampir dua tahun, pada waktu ini ia telah melangkaui 80% kawasan berpenduduk. Tetapi adakah ini bermakna majoriti pelanggan peranti selular di Malaysia menikmati perkhidmatan yang memuaskan? Menurut kajian yang dilakukan oleh OpenSignal, perkhidmatan selular di Malaysia adalah yang paling tidak boleh diharapkan oleh pelanggan.
Kajian dilakukan dengan mengambil maklum balas 55,000 responden daripada 38 negara. Malaysia berada di tangga ke-31 yang menjadikan negara kita antara kedudukan tercorot dengan mencatatkan 790 daripada 1000 markah.

Denmark di tangga teratas dengan 934 mata diikuti oleh Jepun (914), Korea Selatan (913), Perancis (906) dan Slovakia (904). Negara rantau Asia Tenggara dengan rangkaian selular yang boleh dipercayai ialah Singapura di tangga ke-15 dengan 867 markah. Negara kita juga terletak di belakang Thailand (tangga ke 24) dan Indonesia (tangga ke 26) dengan hanya Filipina (tangga ke 32) berada di bawah.
Walaupun ujian yang dilakukan OpenSignal hanya melibatkan sampel yang kecil, secara anekdotal kami menyedari rangkaian selular di Malaysia menjadi semakin teruk selepas pengenalan 5G. Di beberapa situasi kami mendapat hanya 3 palang pada telefon dan internet menjadi perlahan adalah norma harian.