Pada tahun lepas kami telah melaporkan bahawa kerajaan sedang menguji keberkesanan dalam menggunakan sistem pembayaran tol tanpa palang ANPR (Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik) dalam usaha untuk mengurangkan isu kesesakan trafik di lokasi-lokasi tol di sekitar Lembah Klang.
Laporan daripada portal media Free Malaysia Today hari ini mengatakan bahawa sebelum ini, syarikat YTL merupakan salah satu daripada syarikat yang telah membida untuk membangunkan infrastruktur fizikal dan sistem pembayaran ANPR ini, tetapi tidak dipersetujui oleh 32 syarikat konsesi lebuhraya.
Laporan yang sama kini mengatakan bahawa sebuah lagi syarikat telah mula membida untuk projek yang sama, tetapi dengan sedikit perbezaan. Syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini akan membina infrastruktur fizikal untuk pemasangan sistem ANPR ini, tetapi Berjaya Group, syarikat kedua yang dilaporkan membida untuk projek tersebut akan bertanggungjawab untuk membangun dan menyelia sistem pembayaran ANPR yang akan digunakan untuk mengutip wang tol daripada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Berjaya juga akan diberikan tanggungjawab untuk memastikan ketirisan kutipan tol tidak berlaku, dan sebarang kekurangan dari segi pembayaran tol akan ditanggung oleh mereka. Dari segi lokasi dimana tol-tol ANPR ini akan diperkenalkan terlebih dahulu, laporan FMT juga mengatakan bahawa ia akan diperkenalkan terlebih dahulu di tol-tol utama di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang yang memperlihatkan kesesakan trafik yang lebih tinggi.
Akan tetapi sebab utama mengapa syarikat-syarikat konsesi ini tidak mahu meneruskan projek ini dengan YTL ialah kerana dibawah kontrak sedia-ada, YTL dianggarkan akan mengutip sebanyak RM650 ke RM850 juta setiap tahun selama 20 tahun daripada syarikat-syarikat dibawah Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Dengan bidaan Berjaya, ia dianggarkan bahawa kutipan tersebut dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dan dengan pelan untuk membangunkan infrastruktur palang mereka sendiri, fokus Berjaya akan lebih bertumpu terhadap pembangunan sistem pembayaran yang mampan.