Amanz

Ulasan JBL Spinner BT – Pemain Piring Hitam Mesra Gen Z

February 22, 2024
Audio

Effi Saharudin

Minggu lalu saya mengulas speaker bluetooth JBL Authentics 500 yang mempunyai tubuh yang kecil tetapi menawarkan audio yang cukup bertenaga. Ia adalah speaker yang menyasarkan mereka yang mempunyai ruang yang kecil. Hari ini saya mengulas pula JBL Spinner BT yang merupakan pemain piring untuk generasi Z.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

JBL Spinner BT
JenisPemain piring hitam
Motor DC Belt Drive
Output Audio1x RCA
CodecQualcomm aptX
KatrijAudio Technica AT3600L
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.2
Bicu Audio AUXYa
NFCTiada
Harga Jualan RM 3299

Kali terakhir saya menggunakan pemain piring hitam mungkin pada tahun 1995. Ayah saya mempunyai sebuah pemain piring hitam yang dibeli pada tahun 1980. Kerana pada waktu itu cakera padat lebih popular, sukar menjadi alat ganti untuk jarum katrij membuatkan rekod yang dimainkan tidak kedengaran dengan jelas.

Seperti yang telah dilaporkan di Amanz, sejak akhir-akhir ini minat terhadap piring hitam kembali meningkat khususnya di kalang Gen Z. Segala produk digital dilabel sebagai tidak “cool” dan produk analog mengalami era renaissance baharu. Sebagai seorang Gen X yang sudah agak berusia, melihat produk lama menjadi dambaan generasi baharu adalah sesuatu yang agak aneh. Kaset dan piring hitam tidak menawarkan kemudahan penggunaan jika dibandingkan dengan perkhidmatan penstriman muzik.

Tubuh Spinner BT diperbuat daripada bahan plastik yang meliputi rangka kayu MDF dengan piring berputar pula daripada aluminium. Logo JBL yang besar dengan kemasan seakan logam mendominasi bahagian hadapan.

Lengan pemain juga diperbuat daripada aluminium sementara bahagian penutup lutsinar serta butang-butang kawalan kelajuan putar pula daripada plastik. Akhir sekali pelapik meja berputar diperbuat daripada bahan felt bagi mengelakkan permukaan piring hitam tercalar.

Di belakang terdapat butang tambatan bluetooth, pre amp, mengaktifkan mod berpusing automatik, butang kuasa dan output RCA dua kepala untuk sambungan secara berwayar.

Dari segi rekaan ia mengekalkan elemen retro klasik yang turut boleh dilihat pada Authentics 500. Ini adalah kerana kedua-dua produk dihasilkan untuk diguna secara berpasangan. Oleh itu rekaan haruslah serasi. Saya kurang arif dengan rekaan piring hitam modem. Apa yang saya tahu rekaannya kemas dan tidak nampak macam terlalu kuno atau terlalu moden.

PENGGUNAAN

Proses pemasangan Spinner BT adalah agak kompleks tetapi tidak rumit. Sekeping kertas arahan yang diberikan memberikan petunjuk yang jelas dalam bentuk piktogram. Tubuh, piring berputar, kain felt, lengan pemain, katrij jarum pemain, pengimbang berat dan bahagian penutup semuanya perlu dipasang satu persatu. Masa diambil untuk memasang kesemua komponen ini lebih perlahan jika dibandingkan dengan masa diambil oleh saya untuk memasang soundbar JBL Bar 1000 tahun lalu.

Setiap komponen piring hitam kami rasakan lebih sensitif. Lengan aluminium misalnya perlu diimbang terlebih dahulu secara manual dengan pemberat yang diberikan. Kemudian kartij Audio Technica AT3600L perlu dipasang juga secara berhati-hati bagi mengelakkan kerosakan. Belum bermain apa-apa lagi Spinner BT telah membuatkan kami bekerja keras.

Selepas dipasang proses tambatan bluetooth adalah sama sahaja seperti pada produk yang lain. Anda pasti mengatakan mengapa pemain piring hitam menyokong bluetooth. Audio analog dari piring hitam kini berubah ke digital yang akan menyebabkan kualiti berkurangan. Tetapi hakikatnya JBL memenuhi keperluan generasi muda yang masih ingin memadamkan pemain kepada aksesori bluetooth. Ia turut mempunyai phono preamp terbina untuk menguatkan audio terlebih dahulu sebelum disambungkan kepada speaker luaran. Dengan ini tidak perlu mengeluarkan wang tambahan untuk membeli phono preamp berasingan seperti beberapa pemain piring hitam lain di pasaran.

Terdapat sambung RCA tetapi tiada pula bicu audio 6.35mm atau 3.5mm. Ini saya rasakan kurang bijak kerana saya ingin sangat mendengar piring hitam terus ke sepasang fon telinga berwayar. Tak perlu menunggu untuk menambat kepada aksesori audio BT atau speaker luaran tambahan.

Penggunaan adalah mudah. Letak sahaja piring hitam pada piring berputar. Sebaik sahaja lengan pemain diangkat, piring akan berputar. Kemudian gunakan tuas untuk menurunkan jarum katrij ke permukaan piring hitam. Sokongan memainkan piring pada kelajuan 33 atau 45 RPM disertakan.

KUALITI AUDIO

Saya mulakan ulasan ini dengan satu penafian. Pada usia 45 tahun saya harus akui pendengaran tidak sebaik semasa muda remaja. Selama ini saya kerap diberitahu audio daripada piring hitam adalah lebih baik berbanding CD dan oleh itu lebih baik berbanding semua platform penstriman. Untuk menguji dakwaan ini saya membeli album A Rush of Blood To The Head oleh Coldplay dan Purple oleh Stone Temple Pilots.

Dua album ini dibeli kerana saya mempunyai dalam bentuk CD dan telah mendengarnya selama puluhan tahun. Sebarang perbezaan pada audio antara format piring hitam, CD dan Apple Music dapat saya bezakan dengan lebih mudah.

Perkara pertama yang saya sedari apabila memainkan lagu Clocks dari Spinner BT ialah audio dari piano yang kedengaran lebih jelas jika dibandingkan dengan CD. Bass juga memberikan deruman yang lebih mendalam jika dibandingkan dengan saya dengari di Apple Music. Pentas audio juga kedengaran lebih terbuka dan semula jadi.

Apabila dipadankan kepada sepasang fon telinga yang menyokong aptX, perbezaan audio dengan sambungan secara fizikal kepada speaker tidaklah begitu ketara. Tetapi saya katakan begini dari sudut pandangan insan berusia empat dekad yang tidak lagi mempunyai pendengaran yang tajam seperti manusia remaja.

Ia memberikan pengalaman audio yang memang berbeza dengan CD dan juga penstriman muzik. Secara keseluruhan audio yang terhasil menerusi BT Spinner tidak mengecewakan.

DALAM KOTAK

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.

  • 1 x JBL Spinner BT
  • 1 x Piring berputar
  • 1 x Lengan pemain.
  • 1 x Pemberat
  • 1 x Kain pelapik felt
  • 1 x Katrij jarum pemain
  • 1 x Penutup lutsinar
  • 2 x Engsel pengatup lutsinar
  • 1 x Kabel kuasa
  • 1 x Kabel RCA

KESIMPULAN

JBL BT Spinner ialah pemain piring hitam yang mudah digunakan dan mempunyai ciri moden sambungan bluertooth. Ia berjaya memberikan rekaan klasik yang malar hijau dengan ciri moden yang diperlukan kebanyakan pengguna moden.

Sebagai sebuah pemain piring hitam pertama keluaran JBL, tidak banyak perkara negatif yang boleh saya katakan kecuali tiadanya output untuk fon kepala berwayar. Pada harga RM3299 ia bukanlah sebuah produk yang mampu milik. Hakikatnya hobi piring hitam ini bukan untuk orang yang tidak berduit. Semata-mata ulasan ini saya habiskan lebih RM500 untuk tiga album. Bila kali terakhir anda membeli album fizikal sehingga tiga angka?

Ini ialah pemain piring hitam pertama yang pernah memasuki makmal Amanz dan saya harus akui bermula dar sifar di sini Tak begitu pasti apakah pilihan lain di pasaran dan sama ada pengalaman saya dengan Spinner adalah yang terbaik ataupun tidak. Yang saya tahu ia tidak mengecewakan.

Tetapi harus saya katakan satu perkara sahaja. Selepas berdekad membiasakan diri dengan muzik digital yang lebih mudah dimainkan, lebih murah dan tidak memerlukan ia diterbalikkan untuk Side B, saya boleh katakan sudah terlambat untuk berjinak-jinak dengan dunia rekod vinil.

Pro

  • Arahan pemasangan yang sangat baik untuk golongan bahari yang tiada pengalaman.
  • Tambatan mudah ke aksesori bluetooth.
  • Phone preamp terbina.
  • Rekaan klasik tetapi masih lagi hadir dengan ciri-ciri keperluan moden.
  • Audio yang memang memuaskan.

Kontra

  • Tiada sambungan 3.5mm atau 6.5mm s
  • Harga agak mahal

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd