Cari @ Amanz

Liputan rangkaian 5G di Malaysia baru-baru ini dilaporkan telah melangkaui 80.2 peratus kawasan berpenduduk, dan di Selangor sahaja 95 peratus daripada kawasan berpenduduk sudahpun mula menikmati kelajuan rangkaian internet mudah-alih yang sangat laju ini.

Bersempena dengan itu, TM One, anak syarikat Telekom Malaysia yang bertanggungjawab membangunkan solusi digital untuk sektor perusahaan dan digital hari ini telah melancarkan pembukaan Makmal Inovasi (Innovation Lab) dan Makmal Industri 5G (Enterprise 5G Lab) untuk memenuhi keperluan sektor perusahaan dan kerajaan.

Pembukaan makmal ini dirasmikan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan juga Pengerusi Kumpulan Telekom Malaysia, Zainal Abidin Putih dan terletak di TM Digital Academy di Multimedia University Cyberjaya. Makmal-makmal ini bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak industri, termasuklah dari sektor perusahaan, IT, kerajaan dan sebagainya untuk membangunkan teknologi-teknologi yang memanfaatkan infrastruktur 5G sedia ada.

Sewaktu acara pembukaan makmal-makmal ini, beberapa bukti konsep (proof of concept) telah diperlihatkan di Makmal Inovasi ini, seperti papan pemuka bandar pintar yang terdiri daripada Sistem Analisis Trafik Pintar (STAR), Sistem Pengurusan Lampu Jalan Pintar (SLIMS), rekod pengecas kenderaan elektrik dan sebagainya semua dalam satu antaramuka.

Selain daripada itu, terdapat juga bukti konsep sistem Penjagaan Kesihatan Pintar yang mentarifkan pengalaman penjagaan pesakit menggunakan perisian Smart Patient Suites dan menggabungkan teknologi Automated External Defibrilator. Kelengkapan seperti ini dilihat boleh meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada pesakit dan penjagaan keseluruhan untuk para pesakit menggunakan kecerdasan buatan dan teknologi-teknologi terbaru yang lain.

Makmal Industri 5G dilihat akan membantu tiga sektor utama industri tenaga, industri berat dan pelabuhan dalam memanfaatkan rangkaian 5G yang terbina untuk membawa kecekapan yang lebih baik. Untuk kesemua industri ini, TM One dilihat bekerjasama dengan pelbagai syarikat O&G, industri berat dan syarikat-syarikat pelabuhan untuk memastikan kecekapan operasi, keselamatan pekerja dan juga penjimatan kos jangka masa sederhana dan panjang.

Sewaktu pelancaran makmal-makmal ini, TM One turut memperkenalkan Program 5G Sphere Partnership TM One, dimana TM One bekerjasama dengan 50 entiti tempatan dan antarabangsa untuk menyokong penciptaan bersama inovasi baharu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd