Tahun ini, Samsung telah mengubah strategi pemasaran telefon pintar mereka dengan memfokuskan kepada perisian berbanding perkakasan, lebih kurang dengan Google. Peranti lain turut sudah mula menyertakan ciri yang sama tetapi masih tidak sehebat Samsung. Akan datang, giliran Oppo mula memasuki arena AI.

Oppo AI Center baru-baru ini telah ditubuhkan. Pusat AI ini akan menjadi tempat di mana Oppo meneroka dan menguji kemampuan AI yang akan diberikan kepada pengguna. Pada suku kedua tahun ini, Oppo akan mengedarkan kemas kini kepada pengguna siri Oppo Reno11 agar pelbagai ciri AI generatif boleh digunakan. Antaranya adalah OPPO AI Eraser yang boleh memadam objek sama seperti Magic Eraser dan juga ciri rumusan perbualan panggilan telefon seperti Call Assist pada Samsaung Galaxy S24 turut akan disertakan.

Oppo menamakan strategi baharu mereka ini sebagai “pembangunan AI Smartphone”. Piawaian mereka adalah peranti perlu menggunakan semua kuasa pengkomputeran untuk AI, AI yang boleh melihat persekitaran serta memahami informasi kompleks pengguna dan suasana, peranti AI boleh belajar sendiri dan akhir sekali AI ini boleh terus memberi ilmu dan inspirasi kepada pengguna.

Ciri AI Oppo dikuasakan dengan model bahasa raya (LLM) mereka yang tersendiri iaitu AndesGPT. Ia didakwa mempunyai 180 bilion parameter, memfokuskan kepada peningkatan dialog, kustomasi, kolaborasi antara peranti dan awanan, penciptaan, fokus kepada ilmu pengetahuan serta memori dan alatan. Semua ciri AI ini telah tersedia pada siri Oppo Find X7 yang masih terhad di China dan akan terus berkembang bermula dengan siri Reno11.