Carian
Predator Helios Neo 16 Dengan Komponen Terbaru Juga Diperkenalkan Dengan Harga Bermula RM6399
February 21, 2024 Nazrin

Selari dengan pengumuman jualan komputer riba gaming premium Predator Helios 18 dan Helios 16, Acer Malaysia turut mengumumkan ketibaa Predator Helios Neo 16, komputer riba pertengahan kelas premium yang masih lagi tampil dengan spesifikasi berkuasa.

Predator Helios Neo 16 tampil dengan rekaan yang lebih petak, tetapi juga kini dengan sejumlah palam-palam USB dan output video yang dimuatkan ke bahagian belakang untuk mengurangkan selirat kabel di bahagian sisi.

Ia hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 yang tampil dengan pilihan kadar segar semula 240Hz ataupun 165Hz bergantung kepada model. Kedua-dua jenis skrin ini boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 untuk olahan warna yang jitu.

Predator Helios Neo 16 akan tampil dengan dua penawaran CPU, termasuklah Intel Core i7-14700HX dan juga Intel Core i5-14500HX dengan penawaran memori DDR5 sebanyak 16GB ataupun 8GB bergantung kepada model dengan storan SSD NVMe sebesar 1TB.

Dari segi penawaran grafik, Predator Helios Neo 16 hadir dengan dua pilihan, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 4070 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4060 yang tidak mempunyai masalah untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden.

Dari segi penawaran I/O, komputer riba ini dilengkapi dengan sokongan untuk palam Thunderbolt 4, palam HDMI 2.1, pembaca kad MicroSD dan palam audio 3.5mm. Ia juga tampil dengan sokongan untuk WiFi 6E untuk sambungan internet yang pantas.

Acer Malaysia membawa masuk tiga model Predator Helios Neo 16 ini yang dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7 dan Core i5 generasi ke-14 dengan harga bermula RM6,399 sehingga RM8,999.

Komen