Acer Malaysia hari ini telah memperkenalkan beberapa buah komputer riba Predator Helios yang tampil dengan spesifikasi kelas premium. Untuk anda yang mahukan sebuah komputer desktop dengan prestasi kelas pertengahan, Acer Malaysia juga ada sesuatu untuk anda dengan komputer gaming desktop Acer Nitro 50 yang terbaru.
Rekaan PC Acer Nitro 50 ini dilihat tidak begitu berbeza dengan rekaan yang sebelum ini, tetapi didalamnya ialah cip pemprosesan Intel Core i5-14400F dengan memori DDR5 sebanyak 8GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 500GB yang boleh dinaiktarafkan secara sendiri oleh pengguna sekiranya dimahukan.
Dari segi penawaran grafik, Acer Nitro 50 dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan banyak permainan moden pada resolusi Full HD dan juga tetapan kelas pertengahan tanpa masalah.
Desktop Acer Nitro 50 ini juga hadir sedia dengan papan kekunci dan tetikus yang tersedia, tetapi untuk paparan skrin, anda akan perlu membelinya secara berasingan.
Acer Malaysia mengatakan bahawa desktop gaming Acer Nitro 50 ini sudahpun boleh dibeli melalui laman web Acer Malaysia pada harga RM4399.