Cooler Master, jenama pembuat kelengkapan dan aksesori komputer baru-baru ini dilaporkan telah menyaman beberapa syarikat pembuat kelengkapan komputer lain kerana melanggar beberapa paten yang dipegang oleh syarikat tersebut.
Secara ringkasnya, Cooler Master telah menyaman SilverStone, Enermax, and Apaltek di California kerana melanggar sebuah paten dimana motor pam digunakan didalam bahagian radiator penyejuk CPU. Secara lazimnya, komponen pam akan dimuatkan di bahagian penyejuk CPU, tetapi Cooler Master nampaknya memegang paten yang mana ia dimuatkan di bahagian radiator untuk aliran penyejuk yang lebih cekap dan boleh memanjangkan jangkahayat pam.

Bukan itu sahaja, ketiga-tiga syarikat ini juga disaman oleh Cooler Master kerana melanggar satu lagi paten berkenaan penggunaan alat kawalan pencahayaan ARGB yang padat, tetapi saman utama adalah untuk penggunaan pam tersebut.
Cooler Master turut memberikan beberapa contoh produk yang melanggar paten ini, termasuklah SilverStone IceMyst 240 dan SilverStone IceGem 360 AIO, Aquafusion ADV AIO dan LiqMax III ARGB AIO, diantara penyejuk-penyejuk yang lain.
Apa yang menarik mengenai saman ini ialah Cooler Master tidak memfailkan saman terhadap syarikat-syarikat besar seperti MSI dan NZXT yang juga secara terang-terangan menggunakan teknologi dan paten yang sama. Setakat ini saman ini masih lagi berterusan, dan ia tidak diketahui sekiranya syarikat-syarikat ini akan perlu membayar pampasan kerana pelanggaran paten ini.