Xiaomi 14 Ultra Diperkenalkan Di China – Hadir Dengan Kamera Leica 1-inci, HyperOS, Pilihan Binaan Titanium
Aman
Xiaomi kini secara rasminya memperkenalkan Xiaomi 14 Ultra di China, sekaligus memperlihatkan pelbagai perkara baharu dan berkuasa yang dibawakan oleh telefon mercu Xiaomi tahun 2024 berkenaan.

Xiaomi 14 Ultra hadir dengan skrin 6.73-inci OLED dengan paparan resolusi 2K, menawarkan kadar kecerahan mencapai 3000-nit, dikuasakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3, memori sehingga 16GB RAM, dan storan sehingga 1TB.

Menjadi fokus utama pada telefon ini adalah keupayaan kameranya yang menggunakan jenama Leica. Xiami 14 Ultra hadir dengan empat sensor kamera pada bahagian belakang. Kamera utama adalah sensor 50-megapixel Sony LYT-900 bersaiz 1-inci dengan sokongan bukaan boleh-ubah antara f/1.63 ke f/4.0. Disamping itu, ia turut hadir dengan sensor 50MP sudut-lebar, sensor 50MP dengan sokongan zum optikal 3.2x, dan juga sensor 50MP dengan sokongan zum periskop 5x. Xiaomi menggunakan penjenamaan lensa Leica Simmilux untuk telefon pintar ini.
Dengan kamera pada telefon ini, pengguna boleh merakamkan video 4K 120fps menggunakan sensor utama, selain video 8K 30fps menggunakan mana-mana sensor lain. Pengguna juga turut boleh merakamkan gambar RAW menggunakannya.

Untuk swafoto pula, Xiaomi 14 Ultra hadir dengan sensor 32-megapixel dihadapan. Melengkapkannya juga adalah bateri 5300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W.
Xiaomi menyatakan Xiaomi 14 Ultra hadir dengan HyperOS berasaskan Android 14, selain sokongan kalis air IP68. Disertakan bersama juga adalah sokongan komunikasi satelit dua hala bersama-sama dengannya.

Xiaomi 14 Ultra ditawarkan dalam beberapa variasi dengan harga seperti di bawah
- Xiaomi 14 Ultra (12/256 GB) – RMB 6499 (~RM4315)
- Xiaomi 14 Ultra (16/512 GB) – RMB 6999 (~RM 4648)
- Xiaomi 14 Ultra (16/1000 GB) – RMB 7799 (~RM 5179)
- Xiaomi 14 Ultra Titanium (16/1000 GB) – RMB 8799 (~RM 5843)