Cari @ Amanz

Google mematikan sementara ciri menjana imej manusia menggunakan Gemini berikutan rungutan yang diberikan oleh pengguna. Antara isu yang diutarakan ialah imej yang dijana tidak menepati sejarah dan didakwa menyentuh isu perkauman. Berdasarkan perkongsian yang dikongsi di media sosial, Gemini menjana imej bangsa Viking tetapi berkulit hitam yang berjauhan dengan realiti sebenar.

Gemini masih boleh menjana imej selain manusia. Pada ketika ini Google sedang melakukan perubahan pada Gemini bagi menyelesaikan isu ini. Mereka tidak pula berkongsi bilakah ciri menjana imej akan dikembalikan.

Sejak dari awal pengenalan AI generatif yang menjana imej lagi pelbagai isu mengenai penggunaannya timbul. Di Malaysia tindakan agensi kerajaan menggunakannya untuk menghasilkan gambar serta video sempena Tahun Baru Cina menerima kritikan hebat penggiat seni kreatif. Ini tidak dibantu oleh Tengku Zafrul yang seakan memperlekeh komen yang ditinggalkan penggiat seni kreatif.

Pada waktu yang sama semalam surat terbuka yang menggesa kerajaan dunia untuk mengawal penggunaan AI generatif yang boleh mendatangkan impak negatif kepada masyarakat telah ditandatangani ratusan ahli akademik, aktivis dan pakar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd