Sewaktu pembentangan tahun kewangan 2023 Telekom Malaysia, Telekom Malaysia telah mengumumkan bahawa perkhidmatan internet jalur lebar Unifi telah memperlihatkan peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 3.1 peratus ke 3.13 juta pelanggan pada tahun tersebut.
Lebih menarik lagi, CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris mengatakan bahawa semua daripada pelanggan-pelanggan perkhidmatan internet jalur lebar Unifi kini melanggan pelan dengan kelajuan internet sekurang-kurangnya 100Mbps dan keatas.
Pelan Unifi Broadband kini khususnya hadir dengan pelan 100Mbps keatas, dan bermula dari September 2023, para pelanggan Unifi kini rata-ratanya sudahpun dinaiktarafkan kepada pelan tersebut, dan merupakan sebahagian daripada pelan TM untuk memastikan semua pelanggan mereka, dari pengguna di rumah dan juga perniagaan kecil dan sederhana untuk disambungkan ke rangkaian internet jalur lebar yang stabil dan serba pantas.
Ini termasuklah 400 ribu para pelanggan Unifi Business di seluruh Malaysia yang bukan sahaja kini mempunyai sambungan internet yang pantas, tetapi juga infrastruktur dan kelengkapan digital yang membolehkan mereka kekal mampan dan berkembang maju di era digital ini.