Cari @ Amanz
  • Info
  • Teks Asal – Farah Izzati

Sepanjang tahun 2023 telah menyaksikan pelbagai pembangunan teknologi yang terbaharu. Ini menunjukkan dengan inovasi demi inovasi, akhirnya berjaya mencipta gajet terbaharu yang serba canggih dan moden dengan pelbagai pilihan tanda harga. Bukan itu sahaja, jenama telefon pintar telahpun mula memperkenalkan kecerdasan buatan atau AI dalam peranti keluaran mereka yang seterusnya meningkatkan penjualan dan populariti peranti.

Menyentuh mengenai populariti, HONOR juga tidak ketinggalan menjadi sebuah jenama yang berjaya menempah populariti dalam 10 tangga teratas bersama-sama peranti pesaing yang lain. Oleh itu, artikel ini akan menelusuri peranti HONOR yang mana satukah yang menjadi “buah mulut” rakyat Malaysia sepanjang tahun 2023 yang lepas menerusi carian di Google.

Peranti Di Tangga Ke-2 Teratas, HONOR X9b

Menyebut mengenai populariti sesebuah peranti, pasti akan ada sesuatu yang menarik perhatian para pengguna untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya bukan? Sama juga dengan HONOR X9b dimana ia menjadi sebuah peranti HONOR yang paling popular sepanjang tahun 2023. Namun, apakah yang ditawarkannya?

Peranti ini merupakan sebuah peranti yang tahan lasak dan mempunyai mutu binaan yang mantap. Ketika pelancarannya, kami di Amanz tidak ketinggalan untuk mencuba peranti ini yang disusuli bersama beberapa ujian tahan lasak seperti jatuh dari kedudukan tinggi dan di atas permukaan yang kasar. Sebagai pengguna, anda pasti tahu betapa pentingnya peranti yang tahan lasak kerana ianya serba sedikit dapat mengurangkan kegusaran di dada mengenai ketahanan peranti anda untuk kegunaan harian.

Sesuai dengan gelaran peranti tahan lasak, HONOR X9b ini hadir dengan bahan binaan berteknologi HONOR Ultra-Bounce Anti Drop untuk paparan skrin dimana ia mampu menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada bahagian tubuh peranti termasuk skrin dan komponen dalaman. Ia turut didatangkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 6 Gen 1 dimana ia menjanjikan pengalaman penggunaan yang lancar. Peranti ini juga menggunakan sistem operasi MagicOS 7.2 yang berdasarkan Android 13. 

Bukan itu sahaja, untuk anda yang ingin membeli HONOR X9b, anda akan diberikan jaminan penggantian skrin retak untuk bahagian depan dan belakang selama 365 hari, menjadikan ia sebagai peranti yang serba boleh dan berbaloi untuk dibeli oleh pengguna. Ia turut disokong dengan faktor tanda harga yang berpatutan iaitu bermula pada harga RM1,499 sebuah yang diumumkan pada hari pelancarannya. Sudahlah tahan lasak, harganya pula berpatutan. Jadi tidak hairanlah mengapa ia menduduki tanda kedua teratas untuk senarai gajet yang dicari di Malaysia melalui agen carian Google.

Menyerlah Di Tangga Ke-6, HONOR 90

HONOR mengukuhkan lagi kedudukannya dalam carta teratas di Google untuk carian gajet melalui HONOR 90. Salah satu faktor mengapa peranti ini menjadi buah mulut pengguna di Malaysia kerana ia dihadirkan dengan kamera 200MP. Selain itu, peranti ini juga didatangkan dengan kapasiti bateri 5000mAh dan turut menyokong pengecasan berwayar 66W. 

Seterusnya, peranti ini juga sama seperti peranti HONOR yang lain, ia turut didatangkan dengan skrin melengkung dan hadir dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz. Peranti ini juga menjalankan MagicOS 7.1 berasaskan Android 13 pada cip pemprosesan Snapdragon 7 Gen 1. Jika anda berminat, anda boleh mendapatkan peranti ini pada harga bermula RM1,799 sebuah. 

HONOR X9a Menduduki Tangga Ke-9

Seterusnya, peranti yang berada di kedudukan ke-9 iaitu HONOR X9a dan ia merupakan peranti dengan skrin tahan lasak yang dilancarkan terlebih dahulu sebelum HONOR X9b. Peranti ini didatangkan dengan jaminan perlindungan skrin retak selama 180 hari. Sama seperti HONOR X9b, kami di Amanz juga telah menjalankan pelbagai ujian tahan lasak seperti menjatuhkan ia dari paras ketinggian semasa berdiri dan memecahkan kacang macadamia menggunakan skrin hadapan peranti ini. Hasilnya, skrin kekal elok dan tidak retak selepas ujian tahan lasak dilakukan, sepadan dengan nama skrin melengkung yang didatangkan bersama iaitu Ultra Tough OLED Curved Display.

Tambahan lagi, peranti ini menjalankan sistem operasi Magic UI 6.1.0 yang berasaskan Android 12. Peranti ini juga didatangkan sekali dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dan sekaligus memberikan anda pengalaman menatal dengan lebih baik dan lancar. Menerusi model ini juga, HONOR mempertingkatkan lagi kredibilitinya sebagai jenama telefon pintar dengan menyertakan teknologi 1920Hz PWM Dimming pada peranti yang sekaligus memberikan keselesaan pada mata pengguna yang menggunakan peranti ini. Jika anda berminat untuk mendapatkan sebuah dan ia dijual pada harga RM1,499.

Peranti Boleh Lipat Yang Nipis – HONOR Magic V2

Beralih pula kepada peranti yang serba baharu dari HONOR sendiri, HONOR Magic V2. Ia merupakan peranti skrin boleh-lipat yang nipis dengan ketebalan hanya 4.7mm. Dengan ketebalan seperti ini, ia membolehkan anda untuk membawanya kemana-mana dengan lebih mudah tidak berasa kekok ketika memegangnya walaupun ianya adalah sebuah peranti boleh lipat. Apa yang lagi menarik adalah, ia dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 dan kapasiti bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 66W. 

Menyentuh mengenai skrin, ia menggunakan skrin 6.43 inci untuk skrin luaran dan 7.92 inci untuk skrin dalaman. Ia juga menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz dan semestinya membolehkan anda untuk menatalnya dengan lebih puas kerana saiz skrin yang lebih besar. Mengambil kira faktor mengenai pelancaran yang baru sahaja dilakukan di Malaysia pada Januari lalu, mari sama-sama kita nantikan adakah HONOR Magic V2 ini juga bakal menduduki tangga 10 teratas untuk carian gajet di Malaysia. Bagi anda yang berminat, anda boleh mendapatkan HONOR Magic V2 pada harga bermula RM6,999 sebuah. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kredibiliti dan populariti HONOR sebagai sebuah pengeluar peranti pintar tidak dapat disangkal lagi. Dengan memegang kedudukan ke-3,6 dan 9 sebagai peranti yang sering dicari oleh pengguna di Malaysia, menjadikan ia sebagai satu nilai tambah kepada keistimewaan yang sedia ada. Malah, dengan kedudukan di 10 tangga teratas ini, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan kepercayaan pengguna kepada jenama ini. 

Jadi, jika anda berminat untuk mendapatkan peranti HONOR yang dinyatakan seperti diatas, anda boleh membelinya di platform e-dagang atau kedai rasmi HONOR di seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan peranti yang popular dan serba canggih ini sekarang!

Penafian: Advertorial dari HONOR Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd