X mula mengaktifkan ciri panggilan suara kepada semua pengguna platform. Ketika dilancarkan pada awal Januari lalu, panggilan suara hanya boleh digunakan oleh pelanggan X Premium sahaja. Menerusi ciri ini X semakin hampir kepada visi Elon Musk untuk menjadikannya sebuah aplikasi super yang boleh melakukan bukan sekadar media sosial perkongsian video, audio dan gambar.

Sebaik sahaja selesai mengemaskini aplikasi, pengguna akan menerima notifikasi untuk mengaktifkan sokongan panggilan suara. Sesiapa sahaja boleh menerima panggilan suara tetapi pengguna boleh meletakkan saringan menghadkannya kepada hanya pengikut atau insan yang diikuti di X.