Cari @ Amanz

Pandang Pertama Honor Magic6 Pro – Kini Dengan Kamera 180MP

Link Copied!

Honor telah melancarkan telefon mercu baharunya Magic6 Pro di MWC 2024 sebentar tadi dan kami mempunyai satu unit di tangan sekarang. Jadi apa yang adan boleh dapat dengan telefon baharu ini? Kemudian bolehkah ia memenuhi jangkaan? Mari kita lihat dalam artikel pandang pertama ini.

Spesifikasi

Honor Magic6 Pro
Skrin6.8″ LTPO OLED
WQHD+, 120Hz
HDR10+, Dolby Vision
Kecerahan puncak 5000nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1×3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2×3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar)
180MP f/3.0 OIS (Periskop Telefoto)
Optikal 2.5X, digital 100X
Kamera Swafoto50 MP, f/2.0,
3D ToF
Bateri5,600 mAh
Pengecasan berwayar 80W
Pengecasan nirwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Skrin
Imbasan Wajah
Harga Jualan1,299 (~RM6,710)

Rekabentuk Fizikal

Honor Magic6 Pro menarik perhatian melalui reka bentuk yang dibina dengan baik. Memegang peranti juga terasa lebih padat serta berat berbanding sebelum ini. Tubuh peranti dilengkapi binaan berbeza yang termasuk kaca melengkung pada panel hadapan dan bingkai di bahagian sisi.

Panel hadapan tadi juga dilindungi lapisan kaca khusus NanoCrystal Shield yang dikatakan mempunyai sifat tahan lasak bertujuan melindungi skrin agar lebih tahan lama. Kemudiannya bingkai logam yang dibulatkan pula membuatkan peranti ini lagi selesa untuk dipegang.

Sementara itu panel belakang pula menggunakan bahan kulit berasaskan kulit kasar. Kemasan jugafbih premium. Lebih-lebih lagi untuk warna Epi Green yang nampak cukup bergaya seperti unit di tangan kami.

Disebabkan bahagian belakang yang bertekstur juga menjadikan peranti tidak terlalu licin untuk dipegang meskipun tanpa kerangka. Apa-apapun masih bergantung pada minat masing-masing kerana ini hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

Bahagian belakang turut menempatkan bonggol kamera yang besar dengan tiga kamera utama. Susunan sensor tetap sama dengan Magic5 Pro, cuma saiz sensor telefoto di bahagian telah diperbesarkan. Kemudian Honor juga menggabungkan elemen bulatan dan empat segi melalui bonggol kamera ini.

Kalau perasan terdapat juga penjenamaan 100X bukan? Justeru jelas menunjukkan sensor telefoto tadi boleh menyokong zum digital sehingga 100X. Sebuah LED Flash juga disediakan berhampiran modul kamera yang menjadi pelengkap untuk peranti.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa dan audio yang diperbuat daripada logam. Diikuti pula dengan port pengecas, ruang slot SIM dan pembesar suara di bahagian bawah. Tiada ruang slot SIM disediakan namun memori tadi boleh dikembangkan secara maya sehingga 8GB RAM melalui fungsi RAM Turbo.

Kemudian pembesar suara pula sejenis stereo yang menyokong teknologi DTS Ultra-X. Honor juga menempatkan pemancar merah di bahagian atas bersama sebuah lagi pembesar suara dan lubang mikrofon. Pada masa sama peranti juga melepasi penarafan IP68 yang bermakna kalis air dan habuk.

Bagaimanapun perlu dinyatakan bahawa tiada bicu audio 3.5mm disediakan yang memerlukan pengguna bergantung sepenuhnya pada fon telinga nirwayar. Sebenarnya isu ini juga bukanlah sesuatu yang baharu malahan sudah terjadi sejak peranti generasi kedua lagi. Namun kekecewaan itu seakan terubat apabila Honor cuba mencapai keseimbangan melalui ciri yang disebutkan di atas seperti pembesar suara stereo, kalis air IP68 dan pemancar infra merah.

Selain itu fungsi NFC juga boleh digunakan pada peranti untuk pelbagai tujuan termasuk pembayaran digital tanpa sentuh. Dalam masa sama kami menyambut baik sokongan pengimbas cap jari di skrin dan imbasan wajah 3D yang berfungsi dengan lancar sekali. Kedua-dua sistem biometri tersebut mampu mengimbas dengan pantas dan lancar tanpa isu kegagalan yang ditemui untuk cubaan setakat ini.


Skrin Utama

Skrin hadapan 6.8″ LTPO OLED WQHD+ digunakan tidak menunjukkan perubahan yang besar dengan Magic5 Pro sebelum ini. Penggunaan skrin melengkung pada kedua-dua sisi juga masih dikekalkan bersama kadar segar semula 120Hz. Kemudian saiz bezelnya nipis di hampir kesemua sisi membolehkan peranti menawarkan nisbah skrin-ke-badan mencapai 91.6%.

Selain itu, terdapat juga sokongan HDR10+ dan Dolby Vision untuk paparan warna lebih bersemangat. Lalu diikuti pula dengan sokongan kecerahan puncak mencapai 5,000nits bagi memastikan skrin lebih cerah untuk harian dan teknologi PWM Dimming setinggi 4,320Hz pula bagi melindungi mata.

Cubaan setakat ini mendapati tiada isu untuk persembahan visual yang cantik, jelas dan bermaya untuk kegunaan dalam kawasan tertutup. Namun keadaan berubah apabila digunakan dalam kawasan terbuka yang menunjukkan skrin menjadi malap. Tetapi kandungan Nexflix boleh distrim pada resolusi HD memandangkan peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1.

Dapat diperhatikan juga Honor kini mengubah kedudukan lubang kamera swafoto dengan meletakkannya di bahagian tengah. Pada hemat kami perubahan ini tidak terlalu mengganggu memandangkan lubang tersebut kecil sahaja.

Malahan lama-kelamaan pengguna akan terbiasa hingga langsung tidak perasan akan kewujudannya. Honor juga melengkapkan skrin hadapan ini dengan lapisan NanoCrystal Shield untuk pelindungan lebih baik dan dikatakan tahan lasak.


Penanda Aras – Cip Snapdragon 8 Gen 3

Honor Magic6 Pro menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 bersama memori 12GB LPDDR5X RAM dan storan dalaman 512GB UFS 4.0. Gabungan cip pemproses berkuasa dan memori besar bermakna prestasi yang baik juga boleh diharapkan melaluinya.

Cubaan setakat ini memberi pandangan yang positif terhadap prestasi peranti yang berfungsi dengan sempurna. Tatalan terasa lancar dengan skrin 120Hz diaktifkan, dalam masa sama aplikasi boleh dibuka serta merta tanpa kegagalan program. Seperti yang dimaklumkan peranti menyokong penambahan RAM secara maya 8GB melalui fungsi RAM Turbo. Namun sama seperti yang pernah dinyatakan dalam ulasan Honor Magic V2, tiada kebolehan diubah sendiri diberikan sebaliknya diaktifkan terus secara lalai.

Beberapa ujian penanda aras turut sempat dijalankan pada peranti dengan kutipan markah seperti berikut:

AnTuTu 3D

  • Honor Magic6 Pro – 1,366,519
  • iQOO 12 – 2,075,821
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
  • ASUS ROG Phone 8 – 1,953,486
  • RedMagic 9 Pro – 2,114,787

Geekbench 6

  • Honor Magic6 Pro – 1362/4677
  • Xiaomi 141741/6313
  • iQOO 12 – 2181/6631
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
  • ASUS ROG Phone 8 – 3032/6373
  • RedMagic 9 Pro – 2153/6775

3DMark Wild Life Extreme

  • Honor Magic6 Pro – 2492
  • Xiaomi 14 4499
  • iQOO 12 – N/A
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
  • ASUS ROG Phone 8 – 5236
  • RedMagic 9 Pro – 5231

Perisian – MagicOS 8.0 Berasaskan Android 14

Perisian terkini MagicOS 8.0 berasaskan Android 14 dilihat mampu meningkatkan kepuasan pengguna sewaktu menggunakan peranti. Sepintas lalu nampak dengan jelas antaramuka MagicUI baharu ini tiada bezanya dengan iterasi sebelum, namun sebenarnya ia dibina bersama model AI untuk sejumlah ciri baharu.

Antaranya seperti Magic Portal yang membolehkan pengguna menukar dan mengakses perkhidmatan antara aplikasi dengan hanya drag dan drop sahaja. Digabungkan dengan Magic Ring, ia boleh menawarkan pengalaman yang lancar merentasi peranti berbeza termasuk tablet, komputer riba dan banyak lagi. Kemudian ciri Magic Capsules yang berfungsi seperti Dynamic Island untuk pemberitahuan asas.

Perkara yang paling penting ialah Magic6 Pro berfungsi sepenuhnya dengan mana-mana aplikasi atau perkhidmatan yang memerlukan log masuk ke akaun Google. Sekaligus aplikasi seperti YouTube, Google Maps, Google Photos, GMail dan banyak lagi ekosistem Google boleh diakses tanpa masalah.


Sistem Kamera

Sistem tri-kamera masih dikekalkan pada generasi baharu dengan konfigurasi sensor yang berbeza. Ianya terdiri dengan gabungan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 50MP dan telefoto 108MP. Sekali lagi tiada sensor 1-inci pada sensor sudut lebar, namun terdapat peningkatan ketara untuk sensor periskop telefoto sebesar 180MP dengan zum optikal sehingga 2.5X dan digital 100X. Hanya sensor ultra sudut lebar tidak dilengkapi OIS. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 50MP dan sensor 3D ToF.

Turut diberi fokus ialah ciri Millisecond Falcon Capture serba baharu bertujuan meningkatkan masa kelajuan auto fokus dan butang pengatup (shutter) bagi menangkap objek yang bergerak pantas bersama kabur minima. Terdapat juga fungsi AI Motion Sensing Capture disediakan untuk penghasilan gambar pegun dalam gerakan yang drastik.

Fungsi kamera terbina disediakan pula terdiri Night, Portrait, Photo, Video, Movie, Slo-mo, High resolution, Time-Lapse, Pano, Pro dan Story. Selain juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Kebolehan ini turut boleh dimatikan secara manual menerusi tetapan yang tersedia di bahagian atas aplikasi kamera.

AI Motion Sensing Capture

Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3 dan penuh. Sekali lagi tiada format rakaman 8K sebaliknya hanya 4K/60fps maksimum, diikuti kelebihan mod skrin bernisbah 21:9 bagi mewujudkan rakaman seumpama filem. Namun prestasi sebenar untuk kesemua ini akan kami kongsi melalui artikel ulasan yang akan datang.


Kapasiti Bateri

Bateri 5,600mAh adalah lebih besar berbanding 5,100mAh yang digunakan pada Magic5 Pro. Apa yang menariknya di sini adalah ianya sejenis silikon-karbon yang dinaik taraf dengan kemampuan lebih baik dalam pelbagai keadaan. Peningkatan seterusnya sudah tentulah pada sistem pengecasan yang kini menyokong sehingga 80W untuk berwayar dan nirwayar 66W. Pun begitu kepala pengecas disediakan menyokong kuasa sehingga 100W.


Apa Di Dalam Kotak

  • 1x Honor Magic6 Pro
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 100W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Jadi bagaimana? Adakah kesemua yang ditawarkan ini mampu menarik perhatian anda? Pada hemat saya Honor dilihat mengukuhkan lagi perantinya dengan inovasi lebih luas daripada sebelum ini. Binaan yang baik, cip pemproses terkini, kamera pelbagai guna dan bateri besar dengan pengecasan pantas menjadi modal menarik pada peranti. Nantikan ulasan penuh daripada Amanz bagi melihat prestasinya dengan lebih mendalam kelak.

Pro

  • Rekaan premium & selesa dipegang.
  • Sokongan GMS terbina.
  • Pemproses Snapragon 8 Gen 3 berkuasa.
  • Pengecasan semakin pantas.
  • Imbasan wajah 3D.
  • Kalis air IP68.

Kontra

  • Wujud aplikasi gendut.
  • Kamera kurang konsisten.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.

Komen ()