Cari @ Amanz

MediaTek kini mengumumkan kerjasama dengan Google, sekaligus menyertakan pengoptimasian khusus untuk model bahasa raya Google, iaitu Gemini Nano. Dengan langkah ini, ia akan memudahkan pengeluar peranti untuk menyertakan sokongan kecerdasan buatan secara terbina pada peranti, sekaligus mempertingkatkan prestasi dalam penggunaan ciri penjanaan berasaskan kecerdasan buatan.

MediaTek menyatakan dua cip pemprosesan mereka hadir dengan sokongan pengoptimasian Gemini Nano ini, iaitu Dimensity 9300 dan juga Dimensity 8300.

Dengan integrasi ini, ia sekaligus menjadikan penjanaan berasaskan kecerdasan buatan boleh dijalankan terus pada peranti berbanding menggunakan akses berasaskan internet. Pada masa yang sama, ia memberikan lebih privasi kepada pengguna, selain kebolehan menggunakan kecerdasan buatan pada peranti tanpa akses internet.

Selari pengumuman ini, MediaTek dan Google turut merancang untuk memperkenalkan APK khusus untuk membantu para pembangun dan pengeluar peranti dalam menyertakan Gemini Nano pada aplikasi masing-masing.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd