Universiti Malaya bersama-sama dengan Alibaba Cloud, anak syarikat teknologi awanan Alibaba hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (Memorandum of Understanding) dan membuka akademi kemahiran teknologi awanan Alibaba Cloud Academy Skills Centre bersama-sama dengan sejumlah program yang akan memanfaatkan para pelajar di universiti tersebut.

Bersama-sama pusat kemahiran tersebut, persefahaman ini juga memperkenalkan Alibaba Cloud Academic Empowerment Program (AAEP) yang memperkenalkan kurikulum terbaru berkaitan dengan teknologi awanan dan kecerdasan buatan Alibaba Cloud yang memberikan para pelajar dan juga tenaga pengajar universiti akses kepada teknologi-teknologi terbaru Alibaba Cloud yang akan memberikan para graduan kelebihan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
Program AAEP akan memberikan para pelajar UM akses kepada sumber pengkomputeran awanan dan e-pembelajaran Alibaba Cloud Academy menerusi pelbagai seminar, kuliah tetamu istimewa dan pelbagai bengkel interaktif. Mereka juga boleh mengakses lebih 300 kursus pensijilan atas dan luar talian, 16 pensijilan profesional dan 250 makmal praktikal atas talian bersama lebih dari 300 sekutu Akademi Awan Alibaba di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Alibaba Cloud turut memperkenalkan program latihan amali yang dinamakan Future Star, dimana Universiti Malaya merupakan universiti perintis. Melalui program latihan amali ini, pelatih akan diberi peluang untuk memasuki industri teknologi awanan dan kecerdasan buatan selama tiga ke enam bulan untuk mendapatkan pengalaman industri yang tidak ternilai.

Mereka yang sudah melalui program Future Star ini juga berpeluang untuk menyertai Alibaba Cloud sebagai jurutera teknologi awanan, ataupun pelbagai syarikat-syarikat lain yang memanfaatkan teknologi awanan Alibaba Cloud dalam operasi mereka.

Pemeteraian MoU diantara UM dan Alibaba Cloud ini memperlihatkan komitment jangka masa panjang syarikat tersebut dalam membangunkan tenaga kerja digital negara secara berterusan. Inisiatif ini bermatlamat membina tenaga kerja IT berdaya saing dalam membangunkan negara sebagai hab teknologi di rantau Asia.