Carian
Microsoft Baru Memperkenalkan Sokongan WiFi 7 Dan USB4 2.0 Pada Windows 11
February 26, 2024 Nazrin

Aneh tetapi benar. Tahukah anda bahawa setakat ini, sistem operasi Windows 11 masih lagi belum menyokong teknologi sambungan internet WiFi 7 dan juga teknologi penghantaran data USB4 2.0?

Sokongan kedua-dua teknologi ini baru sahaja memasuki fasa ujian melalui Windows 11 Insider Preview Build 26063 yang terbaru. Sambungan WiFi 7 memerlukan peranti dan juga penghala yang menyokong teknologi sambungan ini, tetapi setakat ini ia dilihat hanya peranti pintar dan tablet sahaja yang hadir dengan sokongan ini.

WiFi-7

Dengan WiFi 7, komputer dan peranti pintar dilihat boleh mendapatkan kadar penghantaran data sepantas 40Gbps dan menyokong frekuensi 2.4GHz, 5.0GHz dan 6.0GHz. Melalui sokongan Multi Link Operation pula, peranti-peranti juga boleh mendapatkan sambungan internet yang lebih pantas dan pada jarak yang lebih jauh.

Untuk USB4 2.0 pula, sambungan yang dikemaskini dilaporkan akan tampil dengan kelajuan penghantaran data sepantas 80Gbps menggunakan sambungan kabel USB Type-C yang disokong, dua kali ganda lebih pantas berbanding USB4 1.0.

USB Thunderbolt

Secara teknikalnya, Windows 11 sudahpun menyokong USB4 2.0 melalui palam Thunderbolt 4, tetapi palam Thunderbolt merupakan teknologi hakmilik Intel, manakala USB4 adalah teknologi sumber terbuka dibawah USB-IF. Dengan kemaskini baru ini, komputer riba Windows 11 yang dikuasakan cip AMD misalnya akan boleh mencapai kelajuan pembacaan data yang setara dengan Thunderbolt 4 yang dinikmati komputer riba Intel.

Komen