Cari @ Amanz

Konsol mudah alih kini semakin kompak bagi membolehkan ia dimainkan di mana-mana sahaja. Di MWC Barcelona Tecno Pocket Go telah diumumkan dengan ia adalah konsol mudah alih Windows yang terkecil kerana hanya sebesar sebuah alat kawalan permainan Xbox. Saiz kompak ini dicapai kerana ia tidak dilengkapi sebarang skrin.

Pocket Go perlu dipadankan dengan cermin mata AR Pocket Vision yang memberikan pengalaman seakan bermain pada TV sebesar 215 inci. Setiap cermin mata dilengkapi skrin 0.71″ micro-OLED. Tanpa skrin terbina, Pocket Go adalah sehingga 50% lebih kecil dan 30% lebih ringan berbanding konsol mudah alih Windows lain seperti ROG Ally atau Legion Go.

Setiap Pocket Go dilengkapi pemproses 8 teras dan 16 bebenang CPU dengan kelajuan mencecah 5.1 GHz. Konfigurasi RAM dan storan tidak pula diumumkan oleh Tecno. Sistem penyejukan dengan paip tembaga membolehkan CPU beroperasi pada kuasa maksimum 35W. Selain itu terdapat giroskop 6 paksi terbina dan motor yang memberikan tindak balas haptik.

Butang analog pula menggunakan teknologi hall effect yang akan memastikan isu stick drift yang menghantui alat kawalan permainan lain tidak akan berlaku pada Pocket Go. Pocket Go ditawarkan sekali bersama Tecno Smart Box yang digunakan untuk menguruskan permainan dan pelbagai tetapan serta digunakan untuk menyambungkannya kepada telefon pintar Tecno. Harga jualan belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd