Tecno Pova 6 Pro dilancarkan sebentar tadi sebagai sebuah lagi peranti kelas pertengahan mampu milik. Skrin 6.78″ FHD+ AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, dijana oleh cip Dimensity 6080, memori 12GB RAM, storan 256GB dan bateri sebesar 6000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 70W.
Di belakang terdapat tri-kamera yang terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, sensor kedalaman 2MP dan sebuah kami sensor AI. Sementara itu di hadapan pula sensor 32MP digunakan untuk kamera swafoto.
Pada panel belakang disertakan sistem lampu LED Dynamic-Light Effect yang terdiri daripada 210 lampu LED serta 9 mod. Ini seakan sistem glyph pada peranti Nothing. Rekaan panel belakang ini juga memberikan kesan seakan lutsinar memaparkan komponen dalaman.
Sistem operasi yang digunakan ialah HiOS 14 berasaskan Android 14 dengan sistem tambahan seperti Game Space 4.0 and Game Assistant 4.0. Peranti juga mempunyai pengimbas cap jari terbina bawah skrin, bicu audio 3.5mm, speaker stereo Dolby Atmos dan pemancar infra merah. Peranti akan dipasarkan pada penghujung bulan ini tetapi harga belum diumumkan.