Mistral hari ini mengumumkan kerjasama dengan pihak Microsoft, dimana Microsoft melabur pada pembangun model bahasa raya serta pembangunan kecerdasan buatan berkenaan. Selari dengannya juga, Mistral turut mengumumkan pengenalan pembantu maya berasaskan kecerdasan buatan mereka tersendiri, dinamakan Le Chat.
Le Chat membawakan antaramuka pembantu dalam bentuk dialog perbualan, lebih kurang sama seperti ChatGPT.

Le Chat diperkenalkan dalam bentuk beta, dan turut menyokong perbualan menggunakan bahasa Melayu. Ia ditawarkan secara percuma, dan pengguna boleh mencuba tiga model berbeza yang menguasakannya, termasuk Mistral Small, Mistral Large, dan juga Mistral Next.
Walaupun ditawarkan secara percuma pada hari ini, pihak Mistral menyasarkan bakal hadir dengan penawaran versi berbayar untuk Le Chat tidak lama lagi, dengan menyasarkan pengguna perusahaan.
Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Le Chat ini hari ini secara percuma.