Carian
ZTE
Tablet ZTE Nubia Pad 3D II Memaparkan Kandungan 3D Tanpa Cermin Mata
February 27, 2024 Effi Saharudin

Sedekad yang lalu TV dengan sokongan paparan kandungan 3D cuba dijual sebagai masa depan sistem hiburan di rumah. Ini tidak berlaku kerana ia memerlukan cermin mata khas untuk berfungsi. Tablet ZTE Nubia Pad 3D II yang baru dilancarkan menyelesaikan isu ini dengan skrin 3D yang tidak memerlukan cermin mata khas.

Kandungan 3D boleh ditonton pada skrin dengan sudut pandangan sehingga 86 darjah. Perisian tablet juga boleh mengubah kandungan 2D untuk kelihatan 3D secara automatik. Sebagai tablet generasi kedua, Nubia Pad 3D II boleh memaparkan kandungan 3D 100% lebih terang dan 80% lebih tajam.

Spesifikasi tablet ialah skrin 12.1″ 2650 x 1600 pixel dengan kadar segar semula 144Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 10,000 mAh dengan pengecasan 66W. Tiada maklumat mengenai RAM dan konfigurasi kamera dikongsi oleh ZTE. Sokongan audio pula dalam bentuk DTS:X Ultra 3D. Walaupun telah dilancarkan harga jualan ZTE Nubia Pad 3D II belum diumumkan pada saat ini.

Komen