Cari @ Amanz

BYD Yangwang U9 dilancarkan semalam sebagai kereta elektrik prestasi tinggi pertama keluaran BYD. Kereta ini dilengkapi empat motor dengan 1287 kuasa kuda. Dengan Yangwang U9, BYD ingin bersaing dengan EV prestasi tinggi keluaran Porsche dan Tesla.

Ia boleh memecut dari 0-100 kmj dalam masa 2.36 saat dan bergerak pada kelajuan maksimum 309 km/j walaupun berat keseluruhan kenderaan mencecah 2,475 kg. Bateri 80-kWh boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 450 km CLTC. Pengecasan dari 30-80% dapat dilakukan dalam masa 10 minit sahaja menerusi sistem pengecasan 800V.

Kemampuan lain kereta super ini ialah ia boleh melakukan pusingan 360 secara setempat dan bergerak secara sisi seakan ketam. Sistem apungan aktif U9 juga membolehkan kenderaan masih digunakan walaupun hanya 3 daripada 4 tayar boleh digunakan. Ia juga boleh diprogramkan untuk membuatkan U9 menari serta melompat.

Pada bahagian dalam kokpit terdapat dua skrin LCD. Satu sebesar 10.25″ yang digunakan oleh pemandu dan satu lagi sebesar 12.3″ untuk penumpang yang dipasang menegak. Di China BYD Yangwang U9 dijual pada harga bermula RMB 1,680,000 (~RM 1,115,277).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd