Ai boleh menjana lagu dengan memasukkan prom pendek. Ia turut sudah boleh menghasilkan imej 3D berdasarkan imej 2D manakala OpenAi Sora pula boleh menjana video resolusi tinggi. Pasukan penyelidik daripada Google Deepmind telah memperlihatkan pula Genie, AI yang boleh menjana permainan video berdasarkan satu imej statik.
Genie dilatih menggunakan video 200,000 jam permainan video jenis platformer. Apabila imej pilihan pengguna dimasukkan, ia boleh menjana satu permainan video interaktif pendek berasaskan imej yang tadi. AI ini masih lagi di peringkat kajian dengan ia sekadar menghasilkan permainan video pada resolusi rendah 160×90-pixel sehingga 16 saat sahaja.

Tetapi seperti yang dapat kita lihat dalam dunia AI generatif, peningkatan mendadak dari segi kualiti dan kemampuan dapat dilihat dalam masa yang sangat pendek. Setahun lalu kemampuan menjana imej, audio dan video oleh AI ditertawakan kerana nampak sangat tidak memuaskan. Sekarang AI menjadi ancaman kepada industri kreatif.