MSI telah memperkenalkan konsol PC mudah-alih mereka, MSI Claw pada awal tahun ini di acara CES 2024, yang memperlihatkannya sebagai konsol pertama yang dikuasakan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake.

MSI Claw tampil dengan paparan skrin IPS sesentuh bersaiz 7.0 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz. Untuk pasaran tempatan, MSI Claw akan hadir dengan dua konfigurasi, pertama yang dikuasakan oleh cip Intel Core Ultra 7-155H dan 16GB RAM dan 1TB storan SSD PCIe 4.0, dan Intel Core Ultra 5-135H dengan jumlah memori yang sama dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Apa yang menarik lagi mengenai konsol ini ialah ia tampil dengan sistem penyejukan dwi-kipas yang agresif dengan lubang penyejukan di bahagian atas dan juga belakang konsol ini untuk memastikan komponen-komponennya dapat beroperasi secara optimum.

Pihak MSI Malaysia juga memberitahu kepada kami bahawa bateri 53Wh konsol MSI Claw ini mampu bertahan selama dua jam bergantung kepada aplikasi yang digunakan. Dari segi sokongan palam pula, MSI Claw mempunyai satu palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk tujuan pengecasan ataupun sambungan kepada paparan luaran, satu palam HDMI, satu pembaca kad MicroSD dan satu palam audio 3.5mm.

Pra-tempahan MSI Claw akan dibuka bermula 9 Mac 2024 ini sehingga 21 Mac 2024, dengan harga permulaan RM3499 untuk model Intel Core Ultra 5 dan RM3999 untuk model Intel Core Ultra 7. Untuk mereka yang melakukan pra-tempah untuk konsol ini, mereka juga akan menerima hadiah percuma bernilai RM499 apabila mereka menerima konsol mereka pada bulan April kelak.
Kemaskini: MSI Malaysia telah memperlihatkan pautan pra-tempahan untuk MSI Claw ini melalui laman web MSI Store mereka dan juga kedai atas-talian MSI Malaysia di Shopee. Pautan pra-tempahan ini akan diaktifkan pada 9 Mac 2024, dan seperti dikatakan, akan dibuka sehingga 21 Mac kelak.