Carian
MSI
MSI Titan 18 HX – Komputer Riba Gaming Paling Berkuasa Mereka Kini Tiba Di Pasaran Tempatan Dengan Harga Mencecah RM25,999
February 27, 2024 Nazrin

Siri komputer riba MSI Titan secara lazimnya memperlihatkan MSI membina sebuah komputer riba yang dimuatkan dengan spesifikasi paling berkuasa pada tahun tersebut yang kebiasaannya hanya dapat ditandingi oleh komputer gaming kelas desktop yang juga berada pada tahap yang sama.

Untuk tahun ini, MSI telah memperkenalkan MSI Titan 18 HX, iaitu sebuah komputer riba gaming gergasi yang dimuatkan dengan komponen-komponen CPU dan GPU yang terbaru dan paling berkuasa oleh Intel dan NVIDIA.

Bermula dengan paparan skrin, MSI Titan 18 HX tampil dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 18 inci dengan resolusi UHD+ (3840×2400) dengan kadar segar semula 120Hz yang juga tampil dengan kemampuan untuk mengolah warna pada paparan secara jitu.

MSI Titan 18 HX dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX dan tampil dengan empat memori LPDDR5 32GB yang memberikannya memori sebanyak 128GB dan juga storan SSD sebesar 4TB. MSI Malaysia mengatakan bahawa MSI Titan 18 HX ini juga hadir dengan tiga slot pengembangan storan, dan pengguna boleh menambahkan sendiri storan SSD sekiranya mereka mahu.

Dari segi pilihan kad grafik pula, MSI Titan 18 HX hadir dengan dua pilihan, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4080. Kedua-duanya adalah kad grafik yang sangat berkuasa, dan mampu menggerakkan pelbagai jenis permainan moden pada resolusi, tetapan dan kadar segar semula yang tinggi.

Sebagai komputer riba gaming yang paling berkuasa dikeluarkan oleh MSI, komputer riba ini tampil dengan sokongan untuk pelbagai jenis teknologi seperti WiFi 7, Thunderbolt 4 dan HDMI 2.1 yang menjanjikan sambungan internet dan juga kadar penghantaran data yang terpantas di pasaran sekarang.

Jika anda tidak mahu menggunakan pengecasan DC terbina, palam Thunderbolt 4 pada komputer riba ini juga menyokong teknologi pengecasan PD 3.1 dengan pengecasan setinggi 140W. Seperti biasa, anda akan memerlukan pengecas dan juga kabel yang menyokong pengecasan ini jika anda mahu menggunakannya.

Komputer riba ini juga hadir dengan papan kekunci mekanikal Cherry MX Ultra berprofil rendah untuk pengalaman menaip dan gaming yang lebih selesa. Merumahkan semua komponen-komponen berkuasa ini ialah rangka yang diperbuat daripada aloi Magnesium-Aluminum yang bukan sahaja teguh, tetapi memberikan sentuhan elegan kepada komputer riba ini.

Sistem penyejukan kebuk wap yang menggabungkan dua kipas penyejuk, empat ekzos udara dan tapak penyejukan 3D yang menambahkan ruang pengeluaran udara juga memastikan bahawa komponen-komponen komputer ini beroperasi pada tahap optima.

MSI Malaysia sudahpun mula menjual komputer riba MSI Titan 18 HX ini melalui kedai atas-talian Shopee mereka dan juga kedai-kedai fizikal mereka. Dua model diperlihatkan, dimana model pertama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dijual pada harga RM25,999 manakala model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 dijual pada harga RM21,499.

Komen