Cari @ Amanz

Shopee kini mengumumkan mereka akan mengimplementasi ciri baharu pada platform mereka, dimana berkuat-kuasa 19 Mac 2024, semua produk di platform Shopee akan dilindungi dibawah ciri pemulangan kembali disebabkan “berubah fikiran” selepas pembelian atau dinamakan Shopee sebagai “Change of Mind”.

Dibawah perlindungan ini, pembeli boleh memulangkan kembali barangan yang telah dibeli dalam tempoh 15 hari selepas pembelian. Shopee menyatakan pengenalan ciri ini akan menambah baik lagi pengalaman pengguna, dan secara tidak langsung akan meningkatkan kadar jualan kerana keyakinan pengguna lebih tinggi.

Dengan pengenalan ciri ini, pengguna boleh melakukan pembelian barangan, dan sekiranya tidak menyukai barangan yang diterima atau “berubah fikiran” selepas barangan diterima, boleh memilih untuk memulangkan semula barangan tersebut dan menerima duit kembali.

Barangan yang menyokong ciri ini juga akan dilabelkan dengan tag “Free Returns” pada penyenaraian jualan.

Shopee menyatakan penjual akan menanggung kos penghantaran pemulangan kembali. Namun, untuk fasa awal ini, Shopee membolehkan penjual tuntut kembali kos pemulangan – terhad kepada 1000 tempahan sebulan untuk Shopee Mall, 750 tempahan sebulan untuk Shopee Preferred, dan 500 tempahan sebulan untuk Shopee Marketplace.

Ciri baharu ini akan aktif pada Shopee berkuat-kuasa 19 Mac 2024 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd