Carian
Penghala WiFi 7 ASUS ROG Rapture GT-BE98 Sedia Meranapkan Dompet Anda Dengan Tanda Harga RM3988
February 28, 2024 Nazrin

Jenama gaming Republic Of Gamers keluaran ASUS ialah sebuah jenama yang cukup terkenal sekali dengan pelbagai jenis penawaran premium, dari komputer desktop, komputer riba, komponen-komponen komputer dan juga aksesori dan perkakasan.

Hari ini, ASUS Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah membawa masuk penghala WiFi 7 pertama mereka, iaitu ASUS ROG Rapture GT-BE98 ke pasaran tempatan. Paling utama dengan penghala ini ialah ia menyokong kelajuan penghantaran data secara nirwayar setinggi 25Gbps.

Dari segi rekaan, penghala ini masih lagi hadir dengan rekaan agresif ASUS ROG Rapture sebelum ini, dengan lapan antena dan logo ROG yang boleh menyala dengan warna merah.

Dengan jalur lebar 320MHz dan 4096-QAM, penghala ini bukan sahaja boleh menyokong lebih banyak peranti sekaligus, tetapi juga boleh menyokong kelajuan internet dan penghantaran data yang tinggi tanpa masalah.

Dengan ciri MultiLink Operation, peranti yang menyokong sambungan WiFi 7 boleh menyambung kepada frekuensi berbeza sekaligus untuk sambungan WiFi yang bukan sahaja pantas, tetapi lebih stabil.

Jika anda masih lagi mahu menggunakan sambungan berwayar, penghala ini juga hadir dengan dua palam 10Gbps dan empat palam 2.5Gbps untuk sambungan internet dengan masa pendam rendah yang stabil.

Beberapa lagi ciri menarik pada penghala ROG Rapture GT-BE98 ini ialah ia tampil dengan sokongan untuk penghala AiMesh yang membolehkannya disambungkan kepada penghala mesh untuk melanjutkan sambungan internet, sokongan untuk pelbagai teknologi VPN dan juga firewall untuk memastikan rangkaian anda selamat.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa penghala WiFi ASUS ROG Rapture GT-BE98 ini sudahpun mula dijual di kedai atas-talian ASUS Malaysia dan juga pengedar rasmi produk ASUS Malaysia di seluruh Malaysia pada harga RM3988.

Komen