Cari @ Amanz

Garmin membawa masuk jam tangan pintar baharu Lily 2 ke pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM1,290 untuk Lily 2 dan RM1,550 untuk Lily 2 Classic dengan ketersediaan bermula hari ini. Anda yang berminat boleh mendapatkannya melalui laman web rasmi dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia.

Satu-satunya perbezaan antara peranti adalah pada fungsi GarminPay yang terdapat pada versi Classic. Tubuh sebesar 25.4mm yang digunakan lebih kecil berbanding 34.5mm pada generasi sebelum. Ia juga mempunyai skrin beresolusi 240 x 201 piksel yang dilindungi Corning Gorilla Glass 3.

Turut disertakan ialah ciri kesihatan dan kecergasan standard yang termasuk pemantauan kadar degupan jantung. Pelbagai aktiviti sukan seperti tarian, larian, berenang, berjalan dan berbasikal boleh dilakukan melalui mod sukan terbina. Selain itu, terdapat juga GPS untuk data lebih tepat, bateri bertahan sehingga lima hari dan kalis air 5ATM.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd