Carian
Covid Didapati Menyebabkan IQ Pesakit Menurun
February 29, 2024 Effi Saharudin

Sudah lebih empat tahun wabak Covid-19 menyerang dunia dan ia sebenarnya masih belum berakhir walaupun masyarakat cuba melupakannya. Antara impak Covid-19 yang telah disahkan ialah mengurangkan kemampuan kognitif otak, merosakkan sistem kardiovaskular dan kerosakan organ. Sebagai insan yang sudah dijangkiti Covid sebanyak dua kali, satu impak yang saya sendiri sedari ialah menjadi lebih pelupa atau terma Bahasa Inggeris yang digunakan ialah brain fog.

Otak

Ia menyebabkan pesakit terlupa apa yang ingin dilakukan, dikatakan dan maklumat mudah yang sepatutnya boleh diingati seperti terpadam daripada fikiran. Kajian daripada Imperial College London kini mendapati impak Covid panjang ini menyebabkan IQ boleh turun sehingga enam mata.

Data yang dikumpul menerusi kajian REACT (Real-Time Assessment of Community Transmission) melibatkan lebih 112,000 pesakit Covid di United Kingdom yang melaporkan diri mereka menunjukkan simptom Covid panjang lebih daripada 12 minggu selepas jangkitan. Apabila ujian kognitif dilakukan, IQ mereka didapati lebih rendah daripada biasa berbanding mereka yang tidak pernah mengalami jangkitan.

Pengurangan kemampuan kognitif dikesan berkaitan dengan ingatan, perancangan spatial dan penaakulan lisan. Berita baik dalam ujian ini ialah impak pelupa ini akan hilang dengan kes paling serius hanya berlarutan sehingga setahun.

Komen