TnG eWallet, aplikasi kewangan TnG Digital yang merangkumi kemudahan seperti pembayaran tol, tempat letak kereta, pelaburan kewangan, pinjaman wang dan sebagainya hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menambahkan sejumlah ciri-ciri baru pada aplikasi tersebut sepanjang tahun 2024 ini.
Pertama ialah ciri revolving credit line ataupun baki pusingan kredit untuk semua jenis pembayaran yang dilakukan melalui TnG eWallet. Tidak banyak butiran yang diberikan mengenai ciri ini buat masa ini, tetapi Alan Ni, CEO TnG Digital memberitahu kami bahawa ciri ini akan memudahkan pembayaran untuk barang-barang kecil tanpa pengguna perlu menambah baki kedalam dompet digital mereka terlebih dahulu.
Sama seperti fungsi BNPL pada dompet digital yang lain, jumlah yang dipinjam akan dikira pada penghujung bulan, dan pengguna akan diminta membayar jumlah tersebut apabila tiba masanya.
Ciri pinjaman wang sudahpun diperkenalkan oleh TnG eWallet melalui GOpinjam, dan ia nampaknya akan tampil dengan beberapa kemaskini menarik seperti peningkatan pada had dan juga tempoh pinjaman, kadar bunga yang lebih rendah bukan sahaja untuk pengguna biasa, tetapi juga untuk pengguna peniaga yang menggunakan perkhidmatan TnG eWallet.

Diantara ciri baru yang menarik minat kami ialah TnG eWallet juga nampaknya akan tampil dengan ciri pembelian emas, dimana TnG Digital akan bekerjasama dengan sebuah bank tempatan untuk mengumumkan fungsi ini kelak. Apa yang diketahui buat masa ini ialah walaupun pembelian emas ini dilakukan secara maya, emas fizikal boleh dihantar ke pembeli sekiranya ia diperlukan.
Dalam pada itu, ciri pembelian saham juga nampaknya akan diperkenalkan untuk para pengguna TnG eWallet. Portfolio yang akan diperkenalkan juga dikatakan mempunyai kadar kepelbagaian yang tinggi, dan sangat mudah untuk pengguna memanfaatkannya. Berkemungkinan juga ini adalah lanjutan
Apabila ditanya, seorang jurucakap dari TnG Digital mengatakan bahawa apabila ciri-ciri ini diperkenalkan kelak, ia tidak akan menerima pensijilan patuh syariah terlebih dahulu. Akan tetapi, sama seperti ciri GoInvest, ia akan hadir dengan pensijilan patuh syariah selepas ciri-ciri ini dilancarkan.
Buat masa ini, pihak TnG Digital masih tidak mengesahkan lagi bilakah ciri-ciri ini akan diperkenalkan, tetapi berkata bahawa pengguna tidak akan perlu menunggu lama untuknya. Untuk beberapa ciri ini, mereka hanya perlu menunggu kelulusan kawal selia daripada pihak-pihak tertentu sebelum ia boleh diperkenalkan.