- Teks Asal – Farah Izzati
Soundcore, sub jenama kepada Anker kini melancarkan fon telinga jenis open ear pertama mereka menerusi siri Aerofit dan V30i. Dibawah barisan siri Aerofit adalah dua dilancarkan iaitu Aerofit Pro dan Aerofit.

Untuk siri ini, Aerofit Pro dicipta khas untuk pengguna yang gemar bersukan, manakala Aerofit adalah untuk pengguna biasa. Kedua-dua siri ini mempunyai rekaan open ear dan cangkuk untuk penggunaan yang lebih selesa walaupun dengan pemakaian dalam tempoh panjang. Rekaan ini juga membolehkan pengguna lebih peka dengan bunyi sekeliling. Sokongan codec ialah SBC, AAC dan LDAC pada Aerofit Pro sementara pada Aerfit pula sekadar SBC dan AAC.

Siri Aerofit ini dilengkapi dengan 4 mikrofon yang menggunakan algoritma AI untuk kualiti panggilan yang lebih baik dan jelas. Tambahan lagi, model Aerofit Pro ditawarkan dengan ciri kalis air IPX5 manakala Aerofit pula ditawarkan dengan IPX7. Kedua-dua fon telinga ini juga memperlihatkan teknologi SweatGuard untuk ketahanan terhadap peluh.

Fon telinga Soundcore Aerofit juga hadir dengan ketahanan bateri selama 42 jam, manakala Aerofit Pro pula boleh bertahan selama 46 jam bersama bekas pengecasan. Pengecasan selama 10 minit untuk model Aerofit memberikan pengguna jangka hayat penggunaan 4 jam, manakala Aerofit Pro memberikan penggunaan selama 5.5 jam.
Soundcore Aerofit didatangkan dengan empat pilihan warna, termasuklah warna Midnight Black, Calm White, Cozy Blue dan Soft Pink. Soundcore Aerofit Pro pula hadir dengan warna Dynamic Black, Frost White, Aqua Blue dan Electric Purple. Setiap pembelian siri Soundcore Aerofit akan didatangkan sekali bersama tali leher boleh laras untuk penggunaan yang lebih selesa dan selamat.

Turut diperlihatkan adalah Soundcore V30i yang merupakan fon telinga jenis open ear sama seperti siri Soundcore Aerofit. Ia turut dilengkapi dengan empat mikrofon dan IPX5 untuk kalis air. V30i juga boleh bertahan selama 36 jam dengan penggunaan bersama bekas pengecasan.

Siri fon telinga Soundcore Aerofit ini dijual pada harga RM499 untuk model Aerofit dan RM799 untuk Aerofit Pro. Fon telinga Soundcore V30i pula dijual pada harga RM299. Anker juga akan bekerjasama dengan Anugerah Juara Lagu 38 untuk pakej istimewa Anker di mana pembeli akan menerima bag Anugerah Juara Lagu yang bernilai RM29 secara percuma.

Pra tempah boleh dilakukan bermula 3-26 Mac 2024 di platform e-dagang Lazada, Shopee dan TikTok Shop dan akan dijual secara rasmi pada 27 Mac 2024.