Oppo Watch X Dilancarkan Pada Harga RM1399 Dengan Bateri 100 Jam
Effi Saharudin
Oppo Watch X telah diperkenalkan secara rasmi sebentar tadi sebagai jam tangan pintar baharu mereka yang menggunakan sistem operasi Wear OS 4. Ia adalah versi global untuk OnePlus Watch 2 yang diumumkan beberapa hari yang lalu. Oleh itu ia mengekalkan kemampuan bateri yang boleh bertahan 100 jam.

Ini mampu dilakukan kerana Watch X menggunakan dwi-sistem operasi, dimana sistem operasi WearOS menguruskan tugasan utama seperti sokongan aplikasi, sementara sistem operasi RTOS dijalankan ketika dalam mod paparan waktu biasa. Ini sekaligus memastikan jam tangan pintar ini mampu bertahan untuk tempoh lama berbanding jam tangan pintar yang lain.

Melengkapkan jam tangan pintar ini adalah skrin 1.43-inci AMOLED, dijana dengan cip Snapdragon W5 Gen 1 untuk menjalankan Wear OS, sementara BES 2700 MCU Efficiency untuk menjalankan RTOS. Ia turut hadir dengan bateri 500mAh bersama pengecasan 7.5W berasaskan magnetik. Melengkapkan ia adalah storan 32GB dan juga memori 2GB RAM.

Oppo Watch X kini boleh dipratempah pada harga RM1399 dengan pilihan warna Platinum Black da Mars Brown. Pelanggan yang melakukan pratempahan dari sekarang hingga 22 April layak menerima rebat RM100 dan membeli tali jam tambahan pada harga hanya RM1 berbanding harga asal RM129.
