“Musim panas” di Malaysia kini nampaknya sudahpun bermula, dengan Jabatan Meteorologi Malaysia ataupun METMalaysia hari ini mengumumkan sejumlah lokasi dii seluruh Malaysia dengan amaran gelombang haba tahap 1 dan tahap 2 yang memperlihatkan jumlah suhu yang sangat membimbangkan.
Amaran cuaca panas tahap 1 diberikan untuk lokasi-lokasi Perlis, Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang, dan Baling di Kedah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Timur Laut Pulau Pinang, Kuala Kangsar di Perak, Petaling dan Sepang di Selangor, serta Kuala Lumpur.

Amaran yang sama diberikan untuk Beaufort di Sabah dan Limbang di Sarawak. Amaran Tahap 1 (berjaga-jaga) ini diberikan untuk lokasi-lokasi yang mencatatkan suhu 35-37 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Pokok Sena, Kedah pula diberikan amaran gelombang haba Tahap 2, iaitu pencatatan suhu 37-40 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Amaran gelombang haba ekstrim Tahap 3 pula akan diberikan untuk lokasi-lokasi yang mencatatkan suhu 40 darjah Celcius dan keatas untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai disarankan untuk memastikan bahawa mereka sentiasa meminum air dan kekal terhidrat, dan jika boleh, tidak berada dibawah panas terik untuk jangkamasa lama untuk mengelakkan isu strok panas, khususnya apabila bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.