Carian
Microsoft Akan Memperkenalkan API DirectSR Untuk Memudahkan Implementasi Super Resolution Dari Pelbagai Jenama Grafik
March 1, 2024 Nazrin

Super Resolution ialah sebuah teknologi dimana sebuah komputer boleh menambahkan butiran kepada gambar ataupun video yang beresolusi rendah untuk membuatnya kelihatan seperti ia beresolusi tinggi. Dalam konteks permainan komputer, teknologi Super Resolution digunakan untuk menambahkan bingkai dan meningkatkan resolusi permainan daripada sumber output yang beresolusi dan berbingkai rendah.

AMD, Intel dan NVIDIA semuanya mempunyai teknologi Super Resolution mereka sendiri, termasuklah AMD Fidelity FX, Intel XeSS dan NVIDIA DLSS yang semuanya menggunakan kecerdasan buatan untuk menaikkan kualiti dan jumlah bingkai permainan komputer.

Isu dengan tiga teknologi Super Resolution berbeza ini ialah pembangun permainan perlu membangunkan kod berbeza untuk kesemua teknologi Super Resolution berbeza, dan oleh ini anda dapat lihat mengapa sesetengah permainan komputer hanya menyokong teknologi Super Resolution tertentu.

Untuk memperbaiki isu ini, Microsoft mengumumkan mereka akan memperkenalkan sebuah API baru yang dinamakan DirectSR yang bertujuan untuk memudahkan para pembangun untuk mengimplimentasi teknologi Super Resolution ini pada permainan-permainan komputer mereka khususnya di platform Windows.

Penggunaan API ini akan memudahkan pembangun untuk menggunakan semua teknologi Super Resolution sedia ada dalam satu kod dengan pengubahsuaian minima diperlukan, mungkin dari segi kemampuan grafik yang diperlukan.

Microsoft berkata bahawa API DirectSR ini masih lagi berada dalam fasa ujian dan akan diperkenalkan melalui Agility SDK yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Jika anda seorang pembangun permainan yang akan ke acara Game Developers Conference yang akan berlangsung pada pertengahan bulan ini di San Francisco, anda boleh melawat jerayawara Microsoft untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Komen