Carian
Anda Kini Boleh Cuba Ubah Telefon Android Menjadi Kamera Web Windows
March 1, 2024 Fahim Zahar

Sejak tahun lepas lagi telah kedengaran yang Microsoft dan Google ingin menawarkan ciri Continuity Camera yang mengubah iPhone menjadi kamera web pada peranti macOS tetapi dengan telefon Android dan peranti Windows. Kemudian kedengaran yang ciri ini kelak boleh digunakan melalui peranti One UI 6.0 dengan Phone Link. Hari ini, ciri ini sedia diuji oleh pengguna Windows Insider.

Menariknya, kedua-dua peranti Android saya iaitu Samsung Galaxy S24+ dan Xiaomi 14 menyokongnya. Saya boleh menguji ciri ini kerana laptop saya menjalankan Windows 11 Home 24H2 versi 26058.1400. Kedua-dua peranti saya ini turut disambungkan dengan Phone Link yang membenarkan peranti menjadi kamera web selain memantau notifikasi dan memudahkan pemindahan fail.

Apa yang menarik dengan peranti Samsung Galaxy S24+ adalah, mod kamera web membenarkan pengguna menggunakan kesan Kabur (Blur), Autobingkai (Auto-framing), Fokus Lembut (Soft Focus) dan HDR (hanya kamera swafoto). Sementara Xiaomi 14 terhad kepada kesan kabur (Blur) sahaja. Dalam cubaan saya, peranti Android hanya boleh berubah menjadi kamera web dalam aplikasi telesidang seperti Google Meet atau Microsoft Teams. Ia tidak menyokong aplikasi kamera biasa dan pada WhatsApp desktop ia tidak stabil.

Ini adalah satu ciri yang sangat dihargai kerana kebanyakan telefon pintar sekarang sudah mempunyai kemampuan kamera jauh lebih baik berbanding kamera web terbina. Pengguna turut tidak lagi perlu membeli kamera web asing. Sama-sama kita nantikan kehadiran ciri ini kepada pengguna stabil di masa-masa akan datang.

Komen