Carian
Realme 12 5G Akan Mempunyai Ciri Seakan Action Button
March 4, 2024 Amy Maizuraa

Realme 12 5G telah ditemui tersenarai menerusi laman web rasmi sekaligus mendedahkan beberapa butiran mengenai peranti. Melaluinya juga ia boelh menjadi tambahan baharu untuk peranti di bawah siri Realme 12 sedia, selain turut boleh dipasarkan dengan fokus terhadap fotografi.

Ianya boleh dilihat menerusi tagline “108MP Clear Portrait Master” yang digunakan pada poster dan laman pengiklanan rasmi. Seterusnya juga menunjukkan bahawa peranti akan dilengkapi sensor utama 108MP, sementara satu lagi sensor masih menjadi tanda tanya buat masa ini.

Konsep rekaannya pula diambil berdasarkan Realme 12+ 5G yang merangkumi tubuh dan skrin sepenuhnya rata. Begitu juga dengan bonggol kamera bulat digunakan, cuma peranti hanya menyokong dwi-kamera bersama sebuah LED Flash.

Gambar sekadar hiasan – Realme 12+ 5G

Seperkara yang menarik perhatian ialah peranti boleh dilengkapi Dynamic Button dengan fungsi yang boleh disesuaikan. Dalam contoh yang ditunjukkan ia boleh digunakan untuk pelbagai akses pintas seperti kamera, lampu suluh, mod senyap, mod kapal terbang dan tetapan jangan diganggu. Konsep ini dilihat serupa dengan Action Button yang ditawarkan oleh Apple pada peranti terkini mereka.

Peranti juga dijangka boleh disediakan dalam pelbagai pilihan warna yang termasuk ungu dengan kemasan panel belakang berkilat. Selanjutnya spesifikasi penuh hanya diketahui selepas diumumkan secara rasmi pada 6 Mac 2024 kelak.

Komen