Cari @ Amanz

Setelah beberapa tahun, acara NVIDIA GPU Technology Conference ataupun NVIDIA GTC akhirnya kembali sebagai acara fizikal setelah beberapa tahun terpaksa dibatalkan kerana wabak COVID-19. Pada tahun lepas, acara NVIDIA GTC hanya diadakan secara atas talian, tetapi pada tahun ini, ia akan kembali secara fizikal di San Jose, California.

Berlangsung dari 18-21 Mac 2024, fokus acara NVIDIA GTC pada tahun ini nampaknya akan memfokuskan terhadap AI generatif. Ia akan memperlihatkan lebih dari 900 sesi perbincangan, lebih 300 pameran, lebih dari 20 bengkel teknikal berkaitan AI generatif dan acara-acara suai-kenal untuk mereka yang berada dalam industri ini.

CEO NVIDIA, Jensen Huang juga akan berada di acara tersebut untuk memberi ucaptama yang pastinya akan diberi banyak perhatian, khususnya apabila beliau baru-baru ini mengatakan bahawa kanak-kanak tidak perlu diberikan penekanan terhadap matapelajaran pengaturcaraan, dan sebaliknya lebih elok memfokuskan terhadap subjek-subjek lain seperti sains, biologi, perubatan dan sebagainya.

Selain daripada teknologi AI generatif, NVIDIA GTC juga akan memperlihatkan pelbagai industri yang hadir dengan penglibatan mereka, seperti perubatan, automotif, realiti maya dan sebagainya. San Jose Convention Centre, lokasi acara NVIDIA GTC tahun ini akan menjadi rumah kepada sekitar 16,000 peserta dari pelbagai industri yang semuanya berminat untuk memajukan industri kecerdasan buatan.

Secara lazimnya acara NVIDIA GTC ini akan memberi fokus terhadap teknologi untuk kegunaan industri, dan walaupun NVIDIA lebih dikenali untuk kad grafik kelas gaming mereka, acara ini tidak dijangka akan memperkenalkan sebarang penawaran baru didalam segmen tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd