Populariti kecerdasan buatan secara tidak langsung memberikan impak positif pada pergerakkan saham NVIDIA. Nilai saham NVIDIA telah memperlihatkan peningkatan drastik kebelakangan ini, dan kini ia terus meningkat dan membawa nilai syarikat keseluruhan NVIDIA mencapai $2.056 trilion.

Ini sekaligus membuatkan NVIDIA mengatasi Saudi Aramco, dan memposisikan diri mereka sebagai syarikat ketiga paling bernilai di dunia. Dengan pencapaian ini, NVIDIA kini hanya dibelakang Apple dan Microsoft sahaja.
Sebelum ini juga, CEO NVIDIA telah menyentuh berkenaan kanak-kanak tidak lagi perlu mempelajari pengaturcaraan dengan adanya kecerdasan buatan, disamping menyasarkan kecerdasan buatan melepasi tahap berfikir seperti manusia dalam tempoh sekitar 5 tahun lagi.
Dengan permintaan yang tinggi dalam arena ini, tidak mustahil untuk kita melihat nilai saham NVIDIA terus meningkat naik pada minggu-minggu akan datang. Pada masa yang sama juga, NVIDIA turut menerima persaingan sendiri, apabila sejumlah syarikat kini turut membangunkan cip tersendiri dalam usaha mengurangkan kos operasi masing-masing dalam arena kecerdasan buatan ini.