Cari @ Amanz

Apple hari ini mengumumkan secara rasminya komputer riba terbaru mereka dibawah keluarga Macbook Air, dan dikuasakan oleh cip Apple M3. Dua variasi diperkenalkan, iaitu bersaiz 15-inci dan juga 13-inci.

Apple menyatakan MacBook Air M3 ini menawarkan kuasa prestaso 60% lebih pantas berbanding model M1 asal, dan 13 kali ganda lebih pantas berbanding model Intel sebelum ini. MacBook Air M3 ini hadir dengan pilihan memori sehingga 24GB RAM.

Ia turut hadir dengan masa ketahanan bateri mencapai 18 jam, paparan Liquid Retina, dan keupayaan untuk sambungan sehingga 2 paparan tambahan. Melengkapkan komputer riba ini juga adalah sokongan pengecasan MagSafe. Apple turut menyertakan sokongan WiFi 6E bersama-sama dengannya, selain turut menyertakan dua sambungan Thunderbolt, dan satu bicu audio 3.5mm.

Apple menyatakan sejumlah tugasan dapat dilakukan dengan pantas. Sebagai contoh, penyuntingan video menggunakan Final Cut Pro boleh dilakukan 60% lebih pantas pada model M3 ini berbanding model M1 sebelum ini. Seperti model sebelum ini, ia turut hadir dengan Magic Keyboard dan juga Touch ID.

Apple MacBook Air M3 13-inci akan ditawarkan pada harga bermula RM5199, sementara versi 15-inci pula akan ditawarkan pada harga bermula RM6199. Tarikh jualan tempatan dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Sementara Apple MacBook Air M2 pula ditawarkan pada harga bermula RM4799.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd