Meizu tahun ini melakukan kejutan di Malaysia, di mana mereka telah melancarkan peranti mercu baharu Meizu 21. Tahun lepas, mereka kembali memasuki pasaran Malaysia secara senyap dan bagi yang ingin tahu – Meizu kini adalah pengeluar peranti di bawah Geely.
Meizu 21 adalah sebuah peranti mercu kompak baharu yang panel belakangnya mirip Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+. Tubuh peranti adalah rata, begitu juga dengan skrin dan peranti direka untuk kelihatan ringkas, minimal, elegan dan premium. Peranti hadir dengan skrin 6.55-inci AMOLED 120Hz, dijana Snapdragon 8 Gen 3, dipadankan dengan pilihan memori dan storan 12GB RAM + 256/512 GB.
Kamera utama adalah 200+13+5 Megapixel, menyokong ciri zum nirhilang 4x, rakaman video 8K, gegelung LED Flash Aicy Dynamic Ring dan kamera swafoto 32 Megapixel. Meizu 21 turut dilengkapi dengan sensor pengimbas cap jari ultrasonik, speaker stereo, mEngine Ultra Flagship Touch Engine, bateri berkapasiti 4800mAh dan pengecasan pantas berwayar 80W.
Gegelung LED Aicy Dynamic Ring bukan sekadar lampu flash biasa, kerana ia adalah lampu LED interaktif. Pengguna boleh menggunakan arahan suara untuk melihat persembahan bunga api, lampu bergerak bertukar warna mengikut rentak muzik atau juga notifikasi. Lampu juga berubah mengikut situasi cuaca dengan kuasa AI.
Untuk meningkatkan lagi pengalaman permua terbaik, Meizu 21 didatangkan dengan sistem penyejukan Glacial Nexus. Untuk pasaran Malaysia terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Infinity Black, Meizu White atau Dynamic Purple. Dua variasi yang boleh dibeli adalah 12/256 GB pada harga RM2,999 dan 12/512 GB pada harga RM3,299. Mereka yang membeli sebelum 5 April akan layak menerima jaminan tambahan 12 bulan dan juga TWS Meizu Pandaer yang bernilai RM189.