Grab – Trend Berbelanja Dalam Kalangan Rakyat Malaysia Meningkat 76% Pada Musim Perayaan
Amy Maizuraa
Ramadan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Kebiasannya di saat ini orang ramai sibuk membuat persiapan dengan membeli barangan keperluan harian. Pada masa sama trend perbelanjaan juga dijangka lebih tinggi berbanding hari-hari sebelumnya.

Menurut Grab, penemuan menunjukkan sebanyak 84 peratus responden laporan kajian yang terdiri daripada rakyat di negara ini yang merancang untuk meningkatkan perbelanjaan sepanjang Ramadan akan datang. Kebanyakan mereka merancang membelanjakan wang untuk tuntutan harian, seperti makanan, minuman, pakaian serta produk penjagaan diri.
Hasil laporan kajian yang dibuat Grab itu juga mendedahkan beberapa penemuan utama mengenai corak perbelanjaan pengguna di negara ini semasa Ramadan. Seterusnya menyediakan cadangan dan langkah sesuai yang boleh diambil oleh para peniaga untuk hasil yang lebih baik.

Antara yang disyorkan termasuklah; memanfaatkan peningkatan aktiviti digital pada musim perayaan. Menurut Grab, corak perbelanjaan bagi setiap rakyat Malaysia meningkat 76 peratus, dengan 62 peratus daripadanya adalah bergantung sepenuhnya pada pelbagai jenis perkhidmatan di Grab untuk memenuhi keperluan. Ia termasuklah seperti penghantaran makanan dan pembayaran.

Selain itu menyediakan pakej makanan untuk kumpulan keluarga yang besar. Berkumpul bersama keluarga adalah salah satu norma lazim yang sering dibuat dalam kalangan rakyat di negara ini. Perkara ini turut boleh dibuktikan melalui laporan kajian Grab yang menyatakan sebanyak 84 peratus responden gemar berbuka puasa bersama orang tersayang, yang sudah tentunya dapat membantu memperbaiki hubungan menjadi lebih baik.

Kemudian 94 peratus rakyat di negara ini juga tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk mendapatkan produk yang berkualiti. Hal ini dilihat dapat memberi peluang kepada peniaga untuk menawarkan pakej makanan yang dibuat khusus untuk kumpulan sebegini dengan tambahan menarik seperti minuman dan pencuci mulut tambahan misalnya.

Grab turut mengesyorkan agar memanfaatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam untuk kempen awal Ramadan. Hasil penelitian mendapati 79 peratus pengguna Grab termasuk mereka yang memiliki kenderaan, lebih selesa menggunakan perkhidmatan Grab untuk kemudahan sewaktu hari penting. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding jumlah penumpang mingguan sebelum Ramadan.

Seterusnya boleh terus meningkat pada minggu-minggu menjelang Aidilfitri memandangkan orang ramai akan membuat tempahan perjalanan ke lapangan terbang bagi tujuan pulang ke kampung. Tentunya ini membuka peluang kepada pihak tertentu dalam menyediakan perkhidmatan menarik seperti idea berkongsi kereta, sekaligus boleh mengurangkan kesesakan jalan raya.